Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata bahawa keputusan untuk menggugurkan kes ahli politik tertentu di negara ini dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka hari ini.
Menurut Anwar, Azam memaklumkan perkara itu ketika dia membangkitkan mengenai insiden ketika itu, di mana beberapa ahli parlimen didakwa tetapi beberapa yang lain terlepas dari pendakwaan termasuk semasa era Pakatan Harapan (PH).
"Saya kata (kepada Azam) walaupun masa tu dalam PH, ada kes di mana ahli parlimen didakwa menerima wang dikatakan dari 1MDB.
"..maka ketika itu beberapa ahli parlimen dan bekas ahli parlimen Umno didakwa (berhubung kes itu) dan (bagaimanapun) orang yang (didakwa) menerima wang yang melompat ke Bersatu ketika itu dilepaskan.
"Dan saya kata tak boleh pertahan, ini menjadi rahsia umum. Kes sama, fakta sama, yang kekal pembangkang (ketika itu) didakwa, yang 'lompat' dilepaskan.
"SPRM menjelaskan, mereka tidak terlibat dalam melepaskan sesiapa. Ini, kata mereka adalah wewenang budi bicara AGC atau peguam negara pada ketika itu," katanya.
Anwar bercakap dengan wartawan di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya awal hari ini setelah menemui Azam selama kira-kira satu jam.
"Jadi, peguam negara dulu dan sekarang perlu jawab," tambahnya.
Untuk rekod, Peguam Negara ketika pentadbiran PH selama 22 bulan adalah Tommy Thomas, sementara peguam negara ketika ini adalah Idrus Harun.
Minggu lalu, Anwar telah meminta pertemuan dengan Azam mengenai isu dakwaan percubaan sogok sekurang-kurangnya kepada lima anggota Parlimen PKR untuk lompar parti dan menukar sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Permintaan itu dibuat setelah empat anggota parlimen PKR lain, selain Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail, mendakwa mereka dihampiri individu yang menawarkan mereka untuk lompat parti.
Menurut Anwar, dalam pertemuan itu dia membangkitkan dakwaan oleh seorang bekas menteri mengenai tawaran untuk melepaskan diri dari siasatan rasuah, yang didakwa dibuat oleh seorang menteri kanan.
"Saya bercakap mengenai beberapa kes baru-baru ini, di mana tumpuan (penyiasatan) lebih kepada tokoh pembangkang. Saya menekankan (kepada SPRM) bahawa saya tidak datang ke sini untuk pertahankan (sesiapapun), sekiranya ada bukti atau fakta kukuh mengenai amalan rasuah.
"Tetapi, saya memberitahunya (Azam) bahawa ada kes khusus di mana seorang mantan menteri mengadu kepada saya, bahawa dia diberi jaminan oleh seorang menteri kanan bahawa jika dia lompat parti, dia akan dibebaskan dari apa-apa tindakan," katanya.
Anwar juga memberitahu Azam bahawa imej SPRM akan terjejas jikan pemimpin besar terlepas daripada pendakwaan, kerana menurutnya ia akan menimbulkan persepsi terhadap badan antirasuah itu.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media selepas pertemuan itu, Azam mengatakan bahawa dia menghargai sokongan Anwar kepada SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.
"Dalam pertemuan tersebut, saya telah mendengar beberapa isu semasa berbangkit dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar yang menjadi keprihatinan beliau.
"Sehubungan itu, saya memberi jaminan bahawa SPRM sebagai sebuah agensi yang dipantau oleh lima panel bebas akan bertindak secara profesional mengikut lunas undang-undang dan bidang kuasa yang telah diberikan kepada Suruhanjaya ini.
"SPRM juga menghargai sokongan Anwar terhadap SPRM dalam usaha membanteras rasuah secara berkesan di negara ini," katanya.