Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairy umum program kunjungan ke rumah, daftar vaksin secara manual

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan melaksanakan program pendaftaran vaksin Covid-19 secara manual dari rumah ke rumah, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, program itu juga akan melibatkan tentera dan akan memberi tumpuan di kawasan pedalaman dan luar bandar, di mana capaian internet terhad.

"Sasaran kita adalah komuniti yang tiada capaian baik dari segi peranti digital atau internet, jadi kita dapat daftar mereka secara manual.

"Usaha ini penting memandangkan sudah hampir April, iaitu ketika fasa kedua (program imunisasi) akan bermula pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian," katanya.

Khairy berkata demikian ketika sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Putrajaya hari ini.

Di Selangor sahaja, katanya lagi, pihaknya telah mengenal pasti hampir 50 rumah orang tua-tua di mana pendaftaran secara manual akan dibuat untuk warga emas.

Sementara itu, Khairy berkata bekalan kedua bagi 100,000 dos vaksin Sinovac telah tiba ke Malaysia hari ini.

Katanya, kerajaan ini yakin dengan pematuhan jadual penyerahan vaksin dan maka tidak akan menyimpan separuh bekalan sedia ada untuk suntikan kedua.

Ia sebaliknya akan digunakan agar lebih ramai yang sekurang-kurangnya mendapat dos pertama, katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS