Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS, Bersatu bentuk jawatankuasa PN Terengganu secara rasmi

Perikatan Nasional (PN) Terengganu telah membentuk jawatankuasa baru secara rasmi yang terdiri daripada kepemimpinan PAS dan Bersatu negeri itu, malam tadi.

Ketua Penerangan PN Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta dibantu oleh Pengerusi Bersatu Terengganu Razali Idris dan Pesuruhjaya PAS Terengganu Husain Awang, masing-masing sebagai Naib Pengerusi.

"Alhamdulillah, PN Terengganu telah dapat dibentuk secara rasmi dengan jawatankuasa yang lengkap. Mesyuarat malam tadi dihadiri oleh semua 24 ahli jawatankuasa PN negeri kecuali bendahari iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid yang kini berada di Sabah.

"Mesyuarat juga telah bersetuju untuk membentuk PN di semua bahagian yang akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen di semua bahagian kecuali di Besut.

"Diharapkan PN Terengganu akan terus bergerak aktif sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil mesyuarat PN Terengganu kali pertama itu juga bersetuju untuk menjemput Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Terengganu bagi menyertai gabungan politik itu dalam berdepan PRU15 akan datang.

Mengenai status kerjasama PAS dan Umno pula, Wan Sukairi berkata ia masih diteruskan melalui Muafakat Nasional.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS