Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas Adun Air Putih nafi cabul isteri kawan baiknya
Diterbitkan:  Mar 22, 2021 1:46 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, 51, menafikan dakwaan mencabul isteri rakan baiknya, susulan laporan polis individu yang didakwa menjadi mangsa.

Wan Ahmad Nizam berkata dia tidak pernah bermalam di rumah pengadu - tempat kesalahan itu didakwa dilakukan.

Bekas setiausaha politik bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said itu juga mengaitkan dakwaan itu dengan pergaduhan berkaitan isu hutang.

“Ahad lalu kira-kira pukul empat petang, dia bersama isteri datang ke rumah saya di Geliga di sini dan katanya untuk berbincang tentang hutang tetapi tiba-tiba saya ditumbuk sebanyak dua kali di samping kepala serta badan dibaling dengan pasu bunga secara bertubi-tubi hingga saya tidak boleh bangun, sebelum dia berlalu pergi.

“Saya maklumkan padanya untuk melaporkan kejadian itu kepada polis dan dia mengugut saya agar tidak berbuat demikian atau dia akan membuat sesuatu yang boleh memalukan saya dan tiba-tiba keluar cerita saya mencabul isterinya,” dakwanya di Kemaman semalam.

Dipetik Utusan Malaysia, Wan Ahmad Nizam berkata laporan polis mengenai dakwaan pukul itu telah dibuat di Balai Polis Chukai.

Berkaitan dakwan cabul, pihaknya menyerahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut.

Ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi, dia enggan mengulas lanjut perkara itu.

Wan Ahmad Nizam menjadi Adun Air Putih selama sepenggal selepas menang dalam pilihan raya umum 2004.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Roslee Chik berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek ditangkap di Ampang Jumaat lalu tetapi tidak direman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS