Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar: Tekanan, perubahan rutin faktor 'sindrom lupa anak' dalam kereta

Ibu bapa atau penjaga yang secara tidak sengaja meninggalkan anak di dalam kenderaan yang berkunci antara lain disebabkan kekurangan keupayaan kognitif yang disebabkan oleh tekanan atau tidak cukup tidur.

Ketua pegawai penyelidik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) A Azad Abdul Rashid berkata insiden sedemikian dinamakan sebagai “forgotten baby syndrome” (sindrom terlupa anak/bayi).

“Tidak hanya di Malaysia, tragedi yang menyedihkan ini turut menarik perhatian orang ramai yang melihatnya dengan pelbagai reaksi - simpati dan perasaan tidak percaya: macam mana seorang ibu boleh terlupa tentang anak mereka?” kata Azad kepada Malaysiakini.

Menurutnya, sifat pelupa adalah normal tetapi ia tidak semestinya dianggap sebagai tanda seseorang itu mempunyai kekurangan keupayaan kognitif.

Jelasnya, kajian menunjukkan bahawa sifat pelupa berkait rapat dengan bagaimana otak berfungsi.

Ketika seseorang itu perlu melakukan senarai tugasan yang panjang yang harus mereka lakukan, Azad menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan bahawa otak tidak dapat menilai kepentingan sesuatu perkara itu, yang boleh menjurus kepada lupa.

Selain itu, Azad berkata, perubahan rutin juga boleh menjadi faktor. Oleh itu, melakukan sesuatu perkara dengan kerap boleh mencegah sifat lupa.

Katanya, perubahan rutin secara tiba-tiba memberikan arahan kepada otak supaya tumpu untuk ingat mengenai perubahan atau penambahan baru dalam rutin seharian.

"Perubahan rutin secara tiba-tiba kurang memberi petunjuk yang membuat otak sedar atau ingat akan perkara baru atau tambahan yang perlu dilakukan.

“Dalam kes terlupa anak di dalam kereta, kebanyakan ibu bapa mangsa (atau pemandu) berada dalam rutin yang berbeza dari hari biasa mereka, yang menyebabkan mereka secara tidak sengaja tidak menyedari keberadaan kanak-kanak itu," katanya.

Tak boleh lebih 30 minit

Sementara itu, bekas jurutera automotif Jabatan Pengangkutan Jalan, Mohamad Dalib berkata, ibu bapa yang berhasrat meninggalkan anak kecil mereka di dalam kenderaan tanpa pengawasan dengan kenderaan yang tidak dimatikan enjin dan penghawa dingin tidak boleh melakukannya lebih daripada 30 minit.

Jika ia melebihi 30 minit, Mohamad berkata, tingkap perlu dibuka dalam hanya satu atau dua inci untuk pengudaraan supaya mencegah kejadian meragut nyawa seperti dilaporkan sebelum ini.

Ia bukan sahaja diguna pakai kepada kanak-kanak tetapi untuk orang dewasa juga.

Bekas jurutera automotif Jabatan Pengangkutan Jalan, Mohamad Dalib

Ketika dihubungi, Mohamad berkata risiko kematian lebih tinggi pada kenderaan yang berusia lebih tiga tahun, terutama kenderaan yang tidak menjalani penyelenggaraan dalam tempoh yang sepatutnya sehingga mengakibatkan potensi kebocoran gas dari bahagian enjin ke bahagian kabin.

“Kita cerita pasal budak mati, macam mana boleh terjadi? Kenderaan dihidupkan lebih dari satu jam setengah...dia dah create macam-macam gas, CO2 (karbon dioksida), H20, NOx (nitrogen oksida) NOx semua akan keluar dari ekzos.

“(Apabila gas) masuk dalam kabin, dan aircond terus berfungsi, di mana pemilik kenderaan menutup semua tingkap...ventilation dalaman sahaja, tidak ada ventilation luar,” kata Mohamad.

“Dalam masa beberapa minit, pressure cabin akan jadi tinggi berbanding pressure luar.

“Jadi kalau baby duduk dalam, tak kira umur mungkin dewasa tapi tak boleh ketuk pintu, akan jadi bernafas dengan lembap, sebab NOx, H20 dan gas lain menyebabkan sesak nafas.

“Pernafasan tidak kuat akan menyebabkan pressure cabin hentam dia secepat mungkin, masuk ke dalam dada dia, dia akan jadi sesak nafas,” katanya yang telah bersara dari JPJ selepas 40 tahun berkhidmat.

Dia kini menjadi tetamu jemputan di beberapa stesen radio tempatan untuk bercakap tentang keselamatan kenderaan.

Menjelaskan situasi itu, dia berkata risikonya akan jauh lebih rendah untuk kereta yang diparkir selepas perjalanan yang singkat, contohnya seperti ke kedai runcit yang terletak kurang 5km dari rumah.

Mohamad turut memberikan nasihat yang sama supaya mendapatkan pengudaraan dari luar untuk pemandu yang rehat di dalam kereta mereka bagi mengelakkan tertidur tanpa sedar akibat keletihan.

Sementara itu, ahli akademik Prof Kulanthayan KC Mani berkata walaupun terdapat peruntukan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga kerana kecuaian, dalam kes seperti itu, tumpuan harus diberikan pada pencegahan berbanding pendakwaan.

Strok haba

Selain kanak-kanak yang dibiarkan dengan enjin dan penghawa dingin yang dihidupkan, Kulanthayan berkata bahaya apabila strok haba menyerang yang juga boleh menyebabkan kematian kanak-kanak seperti yang dilaporkan.

"Sekiranya terdapat orang dewasa dan seorang- kanak-kanak di dalam kereta, suhu anak akan meningkat tiga hingga empat kali lebih cepat daripada orang dewasa.

“Sebab itulah kenapa kanak-kanak lebih berisiko jika ditinggalkan bersendirian di dalam kereta," katanya kepada Malaysiakini.

"Jika suhu di luar kereta adalah 34 darjah celsius, suhu di dalam kereta boleh meningkat hingga 52 darjah dalam masa 20 minit.

"Itu adalah masa yang sangat singkat, dan 20 minit adalah waktu ia (strok haba) biasanya berlaku, kerana kadang-kadang anda mungkin meninggalkan anak-anak anda untuk pergi membeli barang di kedai runcit atau membeli barang,” kata Kulanthayan.

Ahli akademik Prof Kulanthayan KC Mani

Dia juga merupakan Pengarah Eksekutif Program Keselamatan Kanak-kanak Universiti Putra Malaysia.

Terperangkap dalam suhu yang tinggi, Kulanthayan berkata organ dalaman kanak-kanak akan mula gagal berfungsi pada 40 darjah, dan mencapai 52 darjah yang boleh meletakkan nyawa mereka dalam bahaya.

Sebagai langkah pencegahan, Kulanthayan berkata ibu bapa yang mempunyai pelbagai perkara yang perlu dilakukan harus membuat peringatan sendiri apabila membawa anak mereka, atau meletakkan barang yang penting di sebelah mereka di dalam kereta, misalnya komputer riba.

Dia mengatakan bahawa orang ramai juga boleh memainkan peranan pencegahan.

Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan kematian seorang budak lelaki berusia tiga tahun setelah terperangkap di dalam kereta selama lebih dari empat jam dalam kejadian di Taman Ria, Kedah.

Mangsa dipercayai terperangkap di dalam kereta dari pukul 8 pagi hingga 12.15 tengah hari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS