Dua syarikat pembalakan telah memfailkan permohonan prosiding menghina mahkamah terhadap lapan penduduk kampung bersama peguam mereka yang terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan mereka.
Ini sebahagian kes tuntutan mahkamah antara syarikat - Beijing Million Sdn Bhd dan Rosah Timber & Trading Sdn Bhd - dan Kampung Baharu, sebuah kampung di Jerantut, Pahang.
Dua syarikat itu mendapat perintah pada 5 Nov 2020 untuk menghentikan lapan defendan daripada memasuki kawasan seluas 202.61 hektar di kawasan Hutan Simpan Jerantut Tambahan.
Mereka juga menyaman penduduk kampung kerana membuat tuduhan mengenai mereka.
Defendan sebelum ini membantah kegiatan pembalakan syarikat berkenaan dengan mengatakan penduduk kampung bergantung pada hutan simpan itu sebagai tadahan air, sumber penghidupan dan pertanian.
Peguam Charles Hector Fernandez memberitahu Malaysiakini, prosiding menghina mahkamah itu dimulakan susulan sepucuk surat yang dihantarnya kepada pegawai Pejabat Perhutanan Jerantut pada 17 Disember 2020 bagi pihak anak guam yang diwakilinya sebagai persiapan untuk kes tersebut.
Syarikat pembalakan itu berpendapat surat tersebut merupakan pelanggaran perintah injunksi.
“Pada 20 Februari 2020; sepucuk surat dikeluarkan oleh Pegawai Perhutanan Jerantut. Dalam suratnya, ia seakan menyatakan fakta bahawa terdapat protes, gangguan dan sekatan oleh penduduk kampung. Atas sebab inilah dia segera menangguhkan semua kegiatan pembalakan sehingga masalah selesai.
"Permohonan keizinan untuk memulakan prosiding menghina didasarkan pada surat yang saya kirimkan secara peribadi hanya kepada pegawai ini untuk meminta penjelasan, yang dituduh oleh plaintif adalah melanggar perintah injunksi," jelasnya ketika dihubungi.
Fernandez berpendapat tindakannya tidak melanggar perintah injunksi dan akan diwakili oleh peguam M Ramachelvam dalam prosiding penghinaan itu.
Majlis Peguam telah memohon untuk menjadi peguam pemerhati untuk kes tersebut.
Syarikat pembalakan itu diwakili oleh Tetuan Jacob Goldie S.S. Chew, memfailkan permohonan ex-parte pada bulan Januari tetapi perbicaraan ditangguhkan kerana perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0).
Perbicaraan mendengar permohonan memulakan prosiding penghinaan ini ditetapkan pada Khamis depan (25 Mac) di Mahkamah Tinggi Kuantan.
Permohonan defendan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Temerloh dan mengubah permohonan mereka juga ditetapkan pada tarikh yang sama.
"Kebimbangan besar ialah adakah saya, yang telah dilantik sebagai peguam bagi lapan defendan, bahkan dapat membela anak guam saya semasa perbicaraan ini," kata Fernandez.
‘Jangan rampas hak peguam’
NGO hak asasi manusia, Aliran sejak itu mengecam permohonan prosiding menghina terhadap peguam yang mewakili lapan penduduk kampung itu.
"Permulaan proses penghinaan terhadap Fernandez dan lapan defendan ini sangat membimbangkan dan dapat dilihat sebagai suatu persendaan terhadap keadilan (travesty of justice).
"Mengunci mulut peguam melalui prosiding penghinaan pada dasarnya menyekat peguam menjalankan tugas profesional mereka kepada anak guam mereka," katanya pada satu kenyataan 16 Mac lalu.
Aliran selanjutnya mengatakan seorang peguam berhak mendapatkan semua dokumen yang diperlukan sebelum perbicaraan.
“Peguam tidak boleh dilucutkan hak mereka untuk mempersiapkan perbicaraan, termasuk mendapatkan semua fakta penting untuk membantah kes mereka di mahkamah.
"Defendan tidak boleh dinafikan hak mereka untuk peguam pilihan mereka," kata NGO itu lagi.
Malaysiakini telah menghubungi peguam syarikat pembalakan untuk memberi komen.