Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Shahidan Kassim hari ini mencabar keputusan Majlis Tertinggi yang memutuskan bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Sebaliknya, Shahidan yang dilantik sebagai pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sejak Oktober tahun lalu oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, Umno Perlis berpendirian akan tetap akan berunding dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).
"Kalau Perlis buat keputusan, mereka nak buang Perlis, maka buanglah.
"Bagi kami, biarlah berlaku perundingan supaya di mana BN, PN tak bertanding. Di mana PN bertanding, BN tak bertanding. Kita nak rundingan itu saja," katanya yang dipetik portal MalaysiaNow.
Shahidan yang juga dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Perumahan Malaysia baru-baru ini mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menyatakan bahawa majlis tertinggi parti itu telah mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Keputusan itu dijangka dimuktamadkan pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan pada 27 Mac nanti.
Sementara itu, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata bahawa Umno perlu berubah mengikut keadaan semasa.
"Suatu ketika dulu, memang Umno sebuah parti yang tidak boleh diganti.
"Jadi dalam kalangan orang Umno itu yang orang kata yang hebatlah. Tidak boleh berubah, disentuh pun tak berubah. Parti itu adalah keutamaan. Sebab itu zaman itu sampai lah satu ketika 90-an begitu Umno adalah sebuah parti yang siapa bertanding atas nama Umno, kita akan menang.
"Itu contoh. Zaman itu lain. Sekarang zaman berubah. Lebih lebih lagi kita ada handphone, kita ada pandangan-pandangan yang dinamik, so berubah dari semasa ke semasa," katanya.
Umno Perlis pernah mempunyai sejarah bertembung dengan keputusan kepimpinan pusat setelah sembilan Adun BN tidak menghadiri majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis pada tahun 2018.
Ini selepas, dilaporkan bahawa Umno Perlis tidak setuju dengan keputusan Umno pusat mencalonkan Azlan Man sebagai MB negeri.
Shahidan juga merupakan pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional di Dewan Rakyat walaupun BN dan Umno bukan anggota dalam gabungan PN.