Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa menyifatkan pengumuman untuk memecat ahli Majlis Tertinggi (MT) yang didakwa membocorkan rahsia parti sebelum proses sewajarnya diambil adalah tindakan kurang bijak.
Annuar berkata, ramai yang terkejut apabila Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ada ahli MT akan dipecat keahlian mereka kerana didakwa membocorkan rahsia mesyuarat.
"Saya tidak dapat meneka siapa, lebih-lebih lagi saya tidak lagi menghadiri (mesyuarat) MT sejak dipecat oleh presiden dari jawatan setiausaha agung BN.
"Menurut peraturan, kes disiplin perlu melalui proses pendengaran di hadapan lembaga disiplin. Bagi ahli MT ia boleh diadili oleh sidang MT sendiri.
"Namun mengumumkan keputusan untuk memecat keahlian MT, sebelum proses tertentu di laksanakan, adalah amat tidak bijak dan tidak kena.
“Malah ia boleh memburukkan lagi nama parti," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Pada 17 Mac lalu, media melaporkan dua ahli MT Umno yang dikatakan dalang sering membocorkan rahsia mesyuarat MT, sudah dikenal pasti.
Menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber, hal itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya di hadapan para ketua bahagian dan sayap Pemuda dan Puteri di Melaka, kelmarin.
“Ahmad Zahid maklumkan dua MT iaitu masing-masing lelaki dan wanita dikenal pasti hasil siasatan dilakukan.
“Umno tidak lagi boleh bertolak ansur dengan sikap ahli yang cuba menghancurkan parti.
“Presiden Umno akan umumkan nama mereka tidak lama lagi serta tindakan yang mungkin diambil iaitu memecat keahlian mereka daripada parti,” katanya seperti dipetik akhbar berkenaan.
Dalam pada itu Annuar berkata, terdapat individu dalam MT Umno yang diketahui umum sering menulis dan bercakap mengenai keputusan parti itu tapi tidak akan dipecat.
"Terdapat individu dalam MT yang diketahui umum sering menulis dan bercakap tentang keputusan MT.Tetapi saya yakin mereka itu tidak akan dipecat kerana sebab musabab yang semua orang tahu.
"Saya hanya mampu berdoa agar kepimpinan kekal tenang dan aman. Kebimbangan saya ialah bila melihat parti semakin retak, semakin tak terarah dan sedang menuju ke 'nowhere'.
"Kita dilihat penuh bermasaalah,bertelagah dgn semua orang dan akhirnya berselisih sesama sendiri.Musuh sebenar politik tidak pula di serangi," kata Annuar lagi.