Paling Popular
Terkini

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, mengemukakan saman fitnah terhadap bekas anggota PKR Chegubard berhubung isu pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) Sime Darby Property.

Tindakan sivil itu membabitkan dua siaran tulisan Chegubard yang dimuat naik ke laman Facebook rasminya antara 23 Oktober 2019, dan 19 September 2019 ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Anggota parlimen DAP itu mengemukakan notis saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Januari lalu dengan menyebut Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin sebagai defendan.

Menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini, Pua mengemukakan saman berhubung tuduhan yang mendakwa dia berusaha untuk memastikan ahli perniagaan Voon Tin Yow dilantik sebagai CEO Sime Darby Property.

Plaintif merupakan setiausaha politik menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Pada 2019, media melaporkan khabar angin mengenai Voon bakal dilantik untuk jawatan CEO Sime Darby Property.

Namun, pemangku CEO Kumpulan Sime Darby Property, Wan Hashimi AlBakri Wan Ahmad Amin Jaffri menafikan khabar angin tersebut dan menyifatkannya sebagai spekulasi semata-mata.

Voon ketika itu adalah pengarah Eco World Development Group Bhd. Kemudian pada April 2020 dia meninggalkan syarikat itu untuk menjawat jawatan sebagai CEO IOI Properties Group.

Melalui tindakan undang-undang yang dikemukakan, Pua mendakwa meskipun telah mengeluarkan dua surat tuntutan pada 29 Oktober 2019 dan 15 Nov 2019, namun Chegubard masih enggan untuk menarik balik posting Facebooknya itu serta menerbitkan permohonan maaf.

Tuntutan itu meminta perintah untuk menyekat Chegubard daripada terus menerbitkan tuduhan tersebut.

Pua juga menuntut ganti rugi umum, ganti rugi teladan serta faedah tahunan 5 peratus ke atas jumlah ganti rugi yang diberikan dikira dari tarikh penghakiman hingga pembayaran penuh, kos, dan apa-apa pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini, peguam Pua, Tan Cheng Leong mengesahkan writ saman telah diserahkan kepada Chegubard minggu lalu.

Peguam itu menambah perkara itu telah didaftar untuk pengurusan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS