mk-logo
Berita
'Doktor Ganja' kenang penantian diri sebagai banduan akhir

Pada 7 Dis 2015, dunia Muhammad Lukman Mohamad bertukar sekelip mata. Jurutera itu ditangkap bersama isterinya yang sedang hamil kerana memiliki, memproses dan mengedar minyak ganja.

Walaupun isterinya dibebaskan pada Mei 2016, Lukman dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 30 Ogos 2018 mengikut Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4kg bahan yang mengandungi tetrahydrocannabinol (THC).

Tanggal 17 Feb lalu, terbit sinar cahaya di hujung rayuan hukuman matinya.

Ia berlaku apabila tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan Lukman mengetepikan sabitan terhadap dua tuduhan mengedar dadah.

Mereka menggantikan tuduhannya dengan pemilikan ganja bawah Seksyen 9 Akta Dadah Berbahaya dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas setiap tuduhan dan berjalan secara serentak dari tarikh penangkapannya.

Pada tahun lalu Mahkamah Rayuan pada tahun lalu menurunkan pertuduhan ketiga Lukman menjadi kesalahan pemilikan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun serta 10 sebatan pada Lukman.

Oleh sebab itu, dia dianggap telah menyelesaikan hukuman penjara dengan pengampunan satu per tiga tempoh tahanan.

Hukuman sebatan dilakukan dan Lukman dibebaskan pada malam 17 Feb lalu dan dibawa ke rumah kakaknya di Kota Bharu untuk berehat serta menerima rawatan.

Setelah dua minggu, dia kembali ke kampung halamannya di Besut, Terengganu dan meneruskan rawatan memulihkan dirinya.

Kelmarin, sebulan selepas pembebasannya dari tirai besi, Lukman berkongsi kisahnya bersama Malaysiakini.

Anak kelima daripada enam beradik itu pernah bekerja sebagai pemeriksa kawalan kualiti (QC) dan jurutera projek QC selama kira-kira setahun sebelum dia dicekup dalam satu serbuan.

“Awalnya, saya mula bergaul dengan beberapa rakan dan kemudian salah seorang rakan saya memberitahu dia mempunyai ibu saudara menghidap barah dan isterinya menderita hipotiroidisme.

"Kemudian dia membuat penyelidikan sendiri dan membaca mengenai rawatan alternatif menggunakan ganja perubatan.

"Kami mula bekerjasama. Dia membawa bahan mentah itu kepada saya. Kami hanya membantunya membuat minyak untuk pesakit dan kemudian setelah sekitar tiga bulan, ada hasil yang baik.

"Kami mula dikenali di komuniti Facebook, bawah Ganja Perubatan Malaysia dan di kalangan mereka di media sosial yang menyebarkan berita mengenai manfaat ganja. Setelah berita itu tersebar, semakin ramai orang datang dan meminta pertolongan," katanya.

Usaha bantuan perubatan

Sememangnya banyak kajian dan dakwaan mengenai rawatan glaukoma dan penahan sakit untuk barah membantu menghalalkan ganja perubatan dan minyak ganja di negara-negara Barat.

Dronabinol, bahan aktif ganja THC dalam bentuk farmaseutikal telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah AS sebagai perangsang selera bagi penghidap Aids dan antiemetik (antiloya) bagi orang yang menerima kemoterapi dengan cap dagang Marinol dan Syndros. Ia boleh didapati dengan preskripsi di Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan New Zealand.

Malah, beberapa negara juga telah mendekriminalisasi ganja bagi kegunaan rekreasi.

Pun begitu, keadaan perundangan Malaysia pada 2015 tidak banyak yang berubah dan ramai tahanan yang dijatuhkan hukuman mati berada di sana atas kesalahan memiliki 'dadah yang kurang berbahaya'.

Lukman berkata dia sedar undang-undang cukup keras dan hukuman berat bagi pengedar dadah tetapi dia tidak menyamakan ikhtiarnya sebegitu.

Katanya, dia memberi bantuan perubatan kepada mereka yang menderita penyakit.

“Apabila orang gembira, saya terus melakukannya. Secara organik ia menjadi seperti perniagaan. Dari apa yang saya tahu, polis bahagian narkotik menyedari aktiviti kami selama hampir setahun. Mereka membuka fail satu tahun sebelum mereka menangkap saya.

"Mereka sudah mempunyai maklumat saya, mereka sudah tahu di mana saya tinggal. Saya rasa mungkin mereka juga menangkap beberapa orang dan bertanya dari mana mereka mendapatkannya," katanya.

Kes terhadap Lukman mempunyai sejumlah elemen yang dipersoalkan termasuk hujah teknikal atas keterangan ahli kimia yang mengakui bahawa ini kali pertama mereka mengendalikan produk tersebut. 

Bagaimanapun, mahkamah tinggi mensabitkannya bersalah dan menjatuhkan hukuman mati.

Penjara sukar tapi membantu

Lukman berkata dia tidak pernah membayangkan dirinya akan berada dalam kurungan dan menanti datangnya kematian.

“Mereka menyasarkan saya seolah pengedar dadah besar, sindiket besar yang menghasilkan dadah di makmal. Ketika mereka datang ke rumah saya tidak ada apa-apa. Tanpa makmal, perabot dan kereta mewah. Saya menjalani kehidupan yang sederhana," katanya.

Walaupun terkejut operasi itu cuma 'perkara kecil', Bukit Aman tetap meneruskan kes terhadap Lukman.

"Pada masa itu, vaping sedang berkembang pesat di Malaysia dan mereka ingin bertindak tegas," katanya.

Malah, kata Lukman dia secara salah digambarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu sebagai pengeluar cecair ganja vape.

"Niatnya jauh berbeza," katanya.

Pemenjaraan bukanlah suatu yang menyeksakan, paling tidak itulah pengalaman Lukman.

"Nasib baik, saya tidak diganggu atau dianiaya di penjara. Mungkin ini yang Allah takdirkan untuk saya.

"Dalam beberapa cara, penjara menolong saya. Sejak beberapa bulan terakhir, saya memohon pertolongan Allah, tetapi saya menyerahkan segalanya kepadaNya," jelasnya.

Lukman banyak membaca di penjara, tetapi sebagai tahanan dengan label 'Banduan Akhir' (hukuman mati), dia tidak dapat menyambung pengajian secara rasmi.

"Di Penjara Kajang, jika kamu dihukum penjara 10 hingga 15 tahun, kamu dapat melanjutkan pelajaran, tetapi jika kamu dijatuhi hukuman mati tetapi menunggu rayuan kamu.

"Tidak ada kesempatan bagi kamu untuk bekerja atau belajar."

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS