Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramasamy jawab MB Kedah: Apa kaitan caj air dengan air selut?
Diterbitkan:  Mar 18, 2021 3:58 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor seperti tidak memahami konsep hak riparian, menurut Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, berhubung isu penggunaan air dari Sungai Muda untuk bekalan negeri itu.

Ia selepas Sanusi bertegas yang Pulau Pinang patut membayar caj air mentah kepada Kedah kerana mendapat sumber air dari sungai itu.

Sungai Muda berpunca di Kedah dan melalui sempadan negeri itu dan Pulau Pinang, sebelum mengalir ke Selat Melaka. Pulau Pinang mengambil sumber air di kawasan sungai di dalam sempadan negerinya.

"Memandangkan Pulau Pinang mendapatkan bekalan air dari kawasan sungai yang lebih rendah, dalam sempadan Pulau Pinang, maka konsep hak riparian terpakai.

"Hak ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Malangnya, maksud dan pemakaiannya bukan sesuatu yang difahami Sanusi," katanya dalam kenyataan.

Menurut undang-undang, hak riparian membenarkan pemilik tanah yang memiliki kawasan air boleh menggunakannya secara wajar. Air tersebut juga tidak boleh dipindah tanpa mengambil kira penduduk di kawasan hilir.

Hak itu disebut dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang enggan melayan tuntutan Sanusi dan sedia mempertahankan hak ripariannya di mahkamah.

Bagaimanapun, Sanusi meminta kerajaan persekutuan untuk membuat proses timbang tara.

Sanusi berkata banyak projek pembangunan yang dilaksanakan yang boleh menjejaskan aliran air Sungai Muda.

"Projek-projek ini apabila dilaksanakan akan beri masalah kepada mereka (Pulau Pinang) jika tidak bayar (caj air mentah), tak apa dia gunalah (secara percuma), sampai hari keluar air selut, dia gunalah air (selut) itu," katanya seperti dipetik Bernama semalam.

Ramasamy berkata dia tidak memahami bagaimana Sanusi boleh mengaitkan soal keadaan air dengan caj air mentah.

"Saya masih cuba melihat hubungan antara keengganan membayar caj air mentah dan bagaimana ia menyebabkan air selut," katanya.

Katanya lagi, sikap Sanusi mungkin akan membawa keburukan kepada Kedah dan dia tidak patut membazir masa dengan membuat provokasi kepada kerajaan Pulau Pinang.

Kerajaan Kedah juga sepatutnya memberi tumpuan kepada masalah bekalan air di negeri itu sendiri, katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS