Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA MP | Kerana pendirian itulah Anwar keluar masuk penjara

Adakah Anwar Ibrahim bergerak sendiri berunding tidak rasmi dengan pemimpin Umno sekarang?

Anggapan itu tidak benar. Anwar sebenarnya mendapat mandat daripada Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk berunding dengan mana-mana pihak untuk mendapatkan balik mandat rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) seperti yang diperolehi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Adakah Anwar Ibrahim begitu taasub untuk menjadi perdana menteri Malaysia?

Tohmahan seperti itu tidak betul dan amat menghina. Anwar menjalankan tugasnya sebagai pengerusi PH seperti mandat yang diberi oleh pimpinan dalam gabungan itu.

Adakah pemimpin PH yang lain sejuk kaki sekarang ini dan ingin menafikan fakta ini?

Adakah Anwar lebih mengutamakan mendekati pemimpin Umno berbanding pemimpin blok pembangkang yang lain seperti Warisan, Pejuang dan Muda?

Anggapan seperti ini tidak betul sama sekali. Anwar - menurut rekod - telah beberapa kali bertemu dengan Mohd Shafie Apdal di rumah presiden Warisan itu - bukan di tempat yang neutral - untuk membincangkan hal negara dan kerjasama PH dengan parti-parti pembangkang lain.

Anwar sebagai pengerusi PH dan ketua pembangkang yang rasmi sanggup mengalah dan merendahkan dirinya ke rumah Mohd Shafie. Bukan sekali, tetapi dua kali. Masihkah sesiapa ingin menyatakan Anwar tidak menghiraukan parti-parti pembangkang?

Pernah berunding dengan Mahathir

Adakah Anwar tak sabar-sabar untuk mengambil alih kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN)? Kenapa tidak tunggu sehingga PRU ke-15?

Tidak betul jika menuduh Anwar tidak sabar-sabar. Seperti kata Martin Luther King Jr: “The time is always right to do what is right”. Ada beza di antara menghadapi PRU ke-15 ketika PH menjadi kerajaan berbanding Muhyiddin Yasssin dan PN sebagai kerajaan.

Pemimpin-pemimpin di blok pembangkang yang mengkritik Anwar tentu tidak naif dalam soal ini.

Betulkah anggapan bahawa Anwar tidak berprinsip dalam mengadakan rundingan kerjasama dengan para pemimpin Umno?

Anggapan dan tohmahan melulu itu tidak betul. Setakat ini, belum ada persetujuan kerjasama dengan Umno. Perundingan ada, tetapi setakat ini sekadar perbincangan tidak rasmi. Ini diakui sendiri oleh Anwar.

Kalau dulu Anwar boleh berunding dengan Dr Mahathir Mohamad yang dituduh diktator, memusnahkan institusi demokrasi negara, menjalankan pemerintahan secara kuku besi dan mengamalkan dasar ekonomi secara kronisme kepada anak-anak sendiri dan kroni-kroni sendiri, kenapa kini Anwar dipandang serong apabila berbincang dengan pemimpin Umno?

Dari segi sejarah, Presiden AS, Franklin D Roosevelt dan Winston Churchill (perdana menteri Great Britain) pernah berunding dan berpakat dengan pemimpin kuku besi dan komunis Soviet Union, Joseph Stalin, untuk melawan Nazi Jerman dibawah pimpinan Aldof Hitler.

Adakah Anwar pergi berbincang dan berunding dengan pemimpin Umno itu secara sembang kosong dan santai-santai?

Kalau ada anggapan sedemikian, tolong perbetulkan. Anwar telah mendapat mandat daripada partinya sendiri - PKR - supaya mengetengahkan agenda reformasi apabila berunding dengan pemimpin-pemimpin Umno seperti isu pentadbiran kerajaan yang baik (good governance), kebebasan kehakiman, memulihkan ekonomi dan memacu pertumbuhan.

Ada empat fakta Anwar

Ditekankan lagi tidak ada campur tangan urusan mahkamah khususnya dalam kes-kes berprofil tinggi yang sedang dibicarakan dan banyak lagi reformasi terhadap agensi penting negara seperti PDRM dan SPRM.

Anwar juga - sebagai ketua pembangkang - membawa agenda supaya Parlimen Malaysia diselamatkan dan penggantunggannya sekarang ini ditamatkan.

Adakah Anwar tidak boleh membincangkan hal-hal sepenting ini dengan para pemimpin Umno?

Apakah track record (rekod prestasi) Anwar dalam membina kerjasama politik dari pelbagai aliran, pelbagai fahaman dan pelbagai ideologi demi kepentingan rakyat dan negara?

Ini faktanya: ada empat. Pertama, Anwar dari dalam penjara berjaya membina kerjasama Barisan Alternatif menentang Mahathir dan Umno/BN pada 1999.

Dia berjaya menwujudkan penyatuan Parti Keadilan Nasional (PKN), PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Kedua, Anwar - ketika itu masih dari dalam penjara - berjaya membawa PRM bergabung dengan PKN menjadi satu entiti politik pelbagai kaum yang baru yang diberi nama PKR yang logonya menjadi logo bersama dalam PRU ke-14 sehingga kerajaan BN pimpinan Najib Razak tumbang.

Ketiga, pada 2008 Anwar sudah keluar penjara. Kali ini dia berjaya membentuk Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP yang menang besar dalam PRU. Lima negeri pimpinan Umno/BN tumbang dalam pada 2008 itu.

Keempat, apabila Anwar merengkok sekali lagi dalam penjara, Pakatan Rakyat pecah. PAS keluar tetapi dari PAS muncul Amanah. Dari dalam penjara, Anwar membina semula gabungan baru tiga parti yang bernama PH terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Anwar dilantik sebagai ketua umum gabungan tiga parti itu. Apabila Mahathir memanjat tangga Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beberapa kali untuk bertemu Anwar dan berjabat tangan tanda bekerjsama, maka Anwar sanggup memaafkan hal yang sudah-sudah dan sanggup bergabung dengan Mahathir untuk menghadapi Najib dan BN dalam PRU ke-14.

Anwar bersetuju Besatu - yang masih belum diluluskan pendaftarannya ketika itu - menjadi komponen keempat PH. Anwar yang masih berada di dalam penjara ketika itu adalah arkitek sebenar kejayaan PH dalam PRU ke-14.

Jadi kali ini apabila Anwar berunding dengan berhati-hati sejak mula, secara tak rasmi, janganlah pihak-pihak lain cepat menuduh Presiden PKR itu taasub sangat untuk menjadi perdana menteri Malaysia.

Tidak perlulah diberitahu bahawa Anwar melakukan itu semua untuk menyelamatkan negara dan rakyat. Inilah tekadnya selama ini dengan pendirian kental dan cekalnya: “membujur lalu; melintang patah”.

Kerana pendirian seperti itu Anwar Ibrahim keluar masuk penjara.

Jika ada sesiapa yang sanggup buat lebih baik daripada Anwar, maka penulis berkata: Silakanlah...


HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang dan bekas pengerusi PKR Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS