Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengecualian cukai baru sehingga RM50,000 - Muhyiddin
Diterbitkan:  Mar 17, 2021 6:09 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Kerajaan akan memperkenalkan pengecualian cukai baharu di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan pada Rabu.

Ketika mengumumkannya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini termasuk memberi potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan membabitkan perbelanjaan sewaan premis serta asrama pekerja sebagai galakan bagi syarikat menyertai inisiatif Safe@Work kendalian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau berkata peruntukan tersebut diberikan kepada setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI serta telah lulus audit pematuhan Safe@Work dan pendaftaran bagi inisiatif Safe@Work yang bersifat sukarela itu akan bermula pada 1 April ini.

“Bagi melindungi golongan pekerja, MITI akan melaksanakan inisiatif Safe@Work yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja,” kata beliau dalam pengumuman khas Pemerkasa yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial pada Rabu.

Mengulas selanjutnya, Perdana Menteri berkata syarikat berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work itu akan turut dibenarkan beroperasi dalam keadaan pekerja-pekerja kontak rapat Covid-19 diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja lain dengan meletakkan mereka di bawah ‘gelembung kerja selamat’ sehingga semua pekerja terbabit disahkan selamat daripada virus itu.

Selain itu, Muhyiddin berkata majikan yang melakukan ujian pengesanan Covid-19 bagi pekerja masing-masing, dibenarkan untuk membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan membabitkan perbelanjaan sehingga 31 Disember tahun ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa motosikal pemasangan tempatan dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah akan diberi pengecualian duti eksais 100 peratus mulai 1 April hingga 31 Disember, 2021.

“Kerajaan juga memberi pengecualian duti hiburan bagi bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuan,” kata beliau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS