Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat Khalid Samad berkata, dia kecewa dan terkejut akan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berhubung penubuhan jawatankuasa tersebut.
Khalid yang juga merupakan pengarah komunikasi Amanah mendakwa kenyataan Takiyuddin membawa maksud tersirat bahawa pembentukan jawatankuasa sedemikian bertentangan dengan undang-undang.
Ahad lalu, Takiyuddin menjelaskan jawatankuasa itu tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menamatkan proklamasi darurat kerana hanya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat mempunyai hak untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong.
Pada 12 Mac lalu, badan jawatankuasa – yang dianggotai oleh beberapa ahli politik pembangkang dan aktivis - telah melancarkan laman web, bagi mengumpul tandatangan rakyat secara dalam talian yang turut membantah darurat.
Petisyen yang ditandatangani orang ramai itu akan diserakan kepada Agong sebelum Ramadan.
Takiyuddin malah menasihati pihak pembangkang supaya meluahkan pandangan mereka kepada wakil Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.
Mengulas lanjut, Khalid menyifatkan Takiyuddin seorang yang 'angkuh dan tidak demokratik' kerana memandang rendah pada jawatankuasa tamat darurat itu.
“Dia katakan jawatankuasa ini tak ada kuasa. Ini pun menunjukkan sikap yang angkuh dan langsung tak demokratik oleh seorang menteri Perikatan Nasional (PN) yang bersama dengan PAS yang dulunya kita lihat sebagai parti yang perjuangkan demokrasi dan hak rakyat.
Arifin lebih terbuka
“Sikap dia seolah-olah kalau kamu tak ada kuasa, kamu diam.
"Sedangkan kita semua tahu bahawa kita hidup dalam dunia demokratik dan kuasa sebenar adalah pada rakyat,” kata Khalid menerusi siding media di Shah Alam hari ini.
Khalid berkata, Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat Arifin Zakaria (gambar, bawah) lebih terbuka berhubung jawatankuasa yang diteraju MP Shah Alam itu.
“Ariffin kata tiada masalah untuk pihaknya dengar pandangan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat namun harus membincangkan dulu perkara yang dibangkitkan.
“Ini sikap yang sepatutnya ditunjuk oleh menteri undang-undang.
“Ariffin menunjukkan sikap terbuka, demokratik, dan menghormati hak rakyat Malaysia,”katanya.
Sementara itu, Khalid turut merayu orang ramai supaya menandatangani petisyen tersebut dan jangan gusar terhadap “ugutan” daripada menteri undang-undang itu.
“Rakyat jangan takut, apa yang kita lakukan tak salah dari segi undang-undang untuk kita nyatakan bahawa kita tak setuju dengan keadaan darurat itu.
“Dan kita merayu kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa ia ditamatkan,” tambahnya.
Meskipun butiran peribadi seperti nombor kad pengenalan dan nama diperlukan untuk mengisi petisyen terbabit, namun Khalid berkata, ia tidak akan didedahkan buat tatapan umum melainkan hanya kepada Agong.
Proklamasi darurat dilaksanakan pada Januari tahun ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, bawah pelaksanaan darurat tersebut, sebarang persidangan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah ditangguhkan, perkara itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir wakil rakyat dari pihak kerajaan dan pembangkang.
Malah, kerajaan turut memperkenalkan Ordinan Berita Palsu bagi mengekang sebarang berita palsu berhubung Covid-19 bawah proklamasi darurat itu.