Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pokok ikonik 127 tahun tumbang menyembah bumi
Diterbitkan:  Mar 17, 2021 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Selepas 127 tahun, pokok ikonik yang menjadi lokasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia untuk mengabadikan kenangan saat berada di Bangunan Stadthuys atau ‘bangunan merah’ di Melaka, akhirnya tumbang menyembah bumi pagi tadi.

Pokok jenis Batai Laut atau nama saintifiknya Peltophorum Pterocarpum berketinggian 18 meter dan berdiameter hampir 1.5 meter yang ditanam sejak zaman pemerintahan British itu tumbang sekitar 6.30 pagi tadi dipercayai akibat akarnya sudah mereput.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Mohd Nasruddin Rahman berkata pokok itu merupakan pokok warisan yang memang diwartakan di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) supaya tidak ditebang dan hanya dipelihara dari segi landskap.

“Apa yang berlaku hari ini, perlu kita ambil pengajaran yang mana-mana kawasan bersejarah atau warisan ini, ia sangat sensitif. Dulu penduduk hanya menggunakan kereta kuda tetapi sekarang, pelbagai jenis kenderaan melalui kawasan tersebut.

“Jadi gegaran dan bebanan yang terhasil secara tidak langsung mempengaruhi struktur dan kekuatan pokok malah bangunan berusia ratusan tahun di kawasan tersebut. Jadi sangat perlu kita kawal aliran trafik di kawasan bersejarah ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Nasruddin turut menjelaskan pada era penjajahan British sekitar 1824 terdapat banyak pokok jenis tersebut ditanam dan bagi pokok ikonik tersebut, bukti yang ada berdasarkan sekeping gambar pada tahun 1910.

“Pokok itu telah berada di situ dengan ketinggian 3.6 meter dan kami percaya ia telah mula ditanam sekitar lewat tahun 1890,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Landskap MBMB, Moahzam Shaari dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan faktor persekitaran seperti laluan trafik yang sibuk serta pembangunan sekeliling menyumbang kepada tumbangnya pokok yang penuh bersejarah tersebut.

“Pokok ini ditanam sejak tahun 1894, sekitar era pemerintahan British dan peredaran masa menyebabkan akarnya reput,” katanya.

Beliau juga menjelaskan pihaknya akan melakukan penanaman semula pokok baru di kawasan terbabit bagi menjaga imej lokasi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kami akan menanam semula pokok baru dalam masa terdekat, namun untuk mendapatkan pokok yang mampu bertahan lama seperti ini memang sangat susah.

“Apapun, kami akan cuba memikirkan spesies pokok lain yang sesuai ditanam di kawasan ini bagi menggantikan pokok yang sudah berusia lebih 120 tahun ini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS