Pemimpin-pemimpin kanan parti pembangkang hari ini mengeluarkan kenyataan bersama menolak kerjasama dengan pihak yang dirujuk mereka sebagai “kleptokrat”.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengadakan sidang media, yang antaranya mengumumkan dia tidak menafikan kemungkinan wujud kerjasama dengan Umno.
“Mendepani cabaran berangkai ini, kami menyeru agar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat,” kata lima pemimpin pembangkang.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Ketua Wira Parti Warisan Sabah Mohd Azis Jamman, Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anggota Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.
Semalam, Anwar menyifatkan masih terlalu awal untuk mengatakan wujud persefahaman antara PKR dengan Umno tetapi pada masa sama mengakui ada perbincangan dibuat.
“Kalau baca seluruh konteks (laporan) itu saya kata agak terlalu awal untuk kita katakan ada perjanjian atau persefahaman. Ada perbincangan awal antara PKR dan Umno (dan) saya tak nafikan kemungkinan kerjasama," katanya.
Sementara itu, lima pemimpin itu berkata blok pembangkang perlu mengukuhkan kerjasama dan kesepakatan dan sebarang bentuk kerjasama dengan pihak lain perlu dibina berdasarkan asas tersebut.
"Sepanjang negara melalui krisis tiga serangkai – ekonomi, kesihatan dan politik - kepimpinan Perikatan Nasional tidak menonjolkan arah tuju dan rancangan yang jelas.
"Kelompongan ini perlu dimanfaatkan oleh blok pembangkang dengan mengetengahkan satu gagasan bersama berlandaskan agenda peduli rakyat.
"Kita perlu menggembleng usaha dan menumpukan kekuatan bersama sebagai satu suara untuk mengangkat agenda rakyat demi kelangsungan hidup semua. Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing," kata mereka.
Dalam reaksi segera, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa PKR kekal Istiqamah sebagai parti politik yang mendokong PH tetapi pada masa sama terbuka untuk meneroka hubungan dengan semua demi negara.
"Kami mengalu-alukan pandangan mereka.
"Asas kerjasama dan persefahaman politik juga harus berpijak di atas prinsip saling hormat dan menolak politik khianat dan mungkir janji," katanya kepada Malaysiakini, tanpa mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Katanya lagi, pendirian PKR adalah keutamaan membela rakyat melebihi amalan politik yang "berbeza antara apa diucap dan apa yang dibuat".
Untuk rekod, persefahaman pentadbiran PH sebelum ini adalah Anwar akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun hubungan antara kedua-dua individu itu bertambah keruh selepas runtuhnya pentadbiran PH pada Februari 2020.