Pemuda PKR Wilayah Persekutuan hari ini menggesa Pesuruhjaya Tinggi New Zealand supaya mengekstradisi segera Edmund Santhara Kumar kembali ke Malaysia sekiranya ahli parlimen Segamat itu melanggar undang-undang negara itu.
Sebelum itu, Ketua AMK Wilayah Persekutuan P Prabakaran menyerahkan satu memorandum berkaitan status perjalanan Santhara yang juga timbalan menteri Wilayah Persekutuan mengambil cuti 55 hari termasuk cuti tanpa gaji untuk bersama keluarganya di New Zealand.
"Edmund Santhara perlu disiasat dan diekstradisi kembali ke Malaysia, jika didapati bahawa dia telah melanggar undang-undang atau peraturan imigresen berkaitan Covid-19 di New Zealand.
"Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand juga perlu menjelaskan protokol, pengaturan dan persetujuan yang diberikan agar seorang timbalan menteri dari Malaysia melakukan perjalanan ke New Zealand," katanya di sidang media di Kuala Lumpur, pagi tadi.
Prabakaran yang juga ahli parlimen Batu turut meminta penjelasan dari kerajaan New Zealand mengenai pengurusan dan garis panduan perjalanan Santhara ke New Zealand pada 24 Disember tahun lalu.
"Kami menyerahkan memorandum itu bagi pihak rakyat Malaysia khususnya penduduk di kawasan Segamat.
"Kesan ekonomi dari wabak Covid-19 telah menyebabkan banyak keluarga di Malaysia terjejas hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.
“Bukan itu sahaja, tetapi kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini tidak dapat melakukan perjalanan ke luar negara untuk melawat anak-anak dan ahli keluarga, termasuk mereka di New Zealand.
"Oleh yang demikian, kami meminta penjelasan lebih lanjut bahawa bagaimana Edmund Santhara bukan sahaja dapat meninggalkan Malaysia tetapi juga bersama keluarganya di New Zealand selama 55 hari," katanya.
Tambahnya, dirinya selaku ahli parlimen tidak dapat membawa isu ini ke Dewan Rakyat kerana kerajaan tidak membenarkan sidang parlimen diadakan selepas mengisytiharkan darurat.
Untuk rekod, kerajaan New Zealand terus berdiam diri berhubung sama ada Santhara mendapat layanan istimewa atau tidak.
Perkara itu dipersoal oleh organisasi berita Stuff, yang berpusat di Wellington, yang mendapati bahawa kerajaan New Zealand tidak mengetahui status Santhara di negara itu atau berapa lama dia menunggu tempat kuarantin.
Jabatan imigresen negara itu memberitahu Stuff bahawa mereka tidak dapat memberikan maklumat mengenai Santhara sekiranya tiada kebenaran untuk mendedahkan maklumat peribadi.
Terdahulu, penasihat polisi dan hal ehwal awam Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, Cameron Evans menerima memorandum tersebut.
Santhara dijangka pulang pada 20 Mac ini.