Perintah pergerakan di tiga lagi negeri - Kedah, Perak, Negeri Sembilan - kini dilongggarkan kepada status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakon sebentar tadi.
"Bagaimanapun, PKPP di Kedah tidak melibatkan daerah Kuala Muda dan Kulim kerana masih ada kluster aktif, selain Seremban di Negeri Sembilan juga masih kekal dengan PKPB," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kelantan dilanjutkan daripada 19 kepada 31 Mac manakala di Sarawak daripada 16 hingga 29 Mac.
Semua keputusan itu akan berkuat kuasa bermula 19 Mac 2021 sehingga 31 Mac 2021 kecuali Sarawak berkuat kuasa hari ini hingga 29 Mac 2021.
Tujuh negeri dan wilayah iaitu Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan kekal dengan penguatkuasaan PKPP.
Kegiatan rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan daripada kawasan PKPP ke PKPP lain melalui konsep green travel bubble menggunakan syarikat dan agen pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.
Kegiatan rentas daerah dibenarkan kecuali bagi Sabah dan Sarawak.