Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerjasama PKR-Umno: Anwar tak nafi kemungkinan, tapi 'masih terlalu awal'

Anwar Ibrahim tidak menafikan kemungkinan berlakunya kerjasama antara PKR dengan Umno tetapi menyifatkan ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

Presiden PKR itu berkata, banyak persoalan dibangkitkan mengenai perbincangannya dengan Umno sejak wawancaranya dengan Mingguan Malaysia pada 14 Mac lalu.

“Kalau baca seluruh konteks (laporan) itu saya kata agak terlalu awal untuk kita katakan ada perjanjian atau persefahaman.

“Ada perbincangan awal antara PKR dan Umno (dan) saya tak nafikan kemungkinan kerjasama. Ini saya sampaikan kepada ahli Parlimen dan pimpinan negeri untuk sampaikan kepada akar umbi.

“(Tetapi) Jangan andaikan sudah ada persefahaman kerana banyak beri komen kata (sudah) ada perjanjian,” katanya ketika sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

Spekulasi mengenai kerjasama PKR-Umno bukan isu yang baru sehari dua muncul. Pada Jan lalu Annuar Musa - yang dipecat daripada jawatan setiausaha agung BN - mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara "hitam putih" menyokong Anwar dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Selain itu, Annuar juga menuduh Ahmad Zahid bersekongkol dengan DAP dalam usaha untuk membentuk gabungan politik baru.

Awal bulan ini, DAP yang merupakan sekutu PKR dalam Pakatan Harapan telah menegaskan bahawa tidak akan ada kerjasama antara parti itu dan Umno.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu konsisten dengan pendiriannya tetapi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno sekiranya memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam perkembangan berasingan, Anwar turut mencadangkan supaya proses pendaftaran dan pengambilan vaksin Copvid-19 dipermudahkan.

Dia turut menyatakan rasa bimbang akan jumlah pendaftaran yang rendah setakat ini.

“Saya tegaskan sini, proses melalui MySejahtera and pendaftaran terlalu rumit dan terlalu banyak borang untuk diisi. Untuk orang kampung sangat susah. Tiada modul yang lagi mudah?

“Satu perkara bimbang, pendaftaran sangat rendah sekarang. Selangor bawah menteri besar ada ambil langkah untuk mudahkan pendaftaran dan saya minta ia diikuti beberapa negeri lain and semua MP PKR gunakan pejabat parlimen mereka sebagai pejabat bantu pendaftaran rakyat yang perlu ambil vaksin,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS