Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Taklimat vaksin MP Isnin depan, KJ jawab soalan Anwar
Diterbitkan:  Mar 16, 2021 2:27 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memberi taklimat kepada ahli parlimen pada Isnin depan mengenai program imunisasi Covid-19.

Menurut jemputan taklimat itu, ahli parlimen akan diminta memberikan maklum balas.

Ini akan menjadi perhimpunan pertama semua ahli parlimen sejak parlimen bersidang kali terakhir pada suku terakhir tahun lalu untuk persidangan Belanjawan 2021.

Parlimen telah digantung sejak 13 Jan berikutan perisytiharan darurat.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menyatakan harapan agar semua ahli parlimen pembangkang dapat menghadiri taklimat tersebut.

Dia berkata demikian dalam satu kenyataan di mana dia menjawab soalan ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Ringkasan dari lima soalan Anwar dan jawapan Khairy adalah seperti berikutL:

[BOLD] Apa yang telah dilakukan kerajaan untuk menangani situasi 1.4 juta individu yang memberikan maklumat tidak lengkap ketika mendaftar untuk program vaksinasi?

Khairy mengatakan bahawa dia telah menangani perkara itu petang semalam. Individu dengan borang pendaftaran yang tidak lengkap akan diberitahu melalui SMS untuk menyelesaikan proses agar dapat menerima tarikh janji temu vaksinasi.

[BOLD] Apa yang akan dilakukan kerajaan terhadap golongan yang antivaksin?

Khairy berkata, program kesedaran telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Islam (di bawah Jabatan Perdana Menteri) dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

Dia mengatakan ada usaha untuk mengurangkan ketakutan mengenai vaksin melalui media, media sosial dan program jangkauan.

[BOLD] Tidak ada ketelusan dalam pemerolehan vaksin, yang menelan belanja RM3 bilion. Faktor apa yang dipertimbangkan dalam menentukan portfolio vaksin?

Khairy tidak dapat memberikan perincian kerana kerajaan terikat dengan perjanjian dengan syarikat vaksin yang mensyaratkan tiada pendedahan (NDA).

Namun, dia, bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, telah memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Umum (PAC) mengenai perkara itu.

Khairy berkata Pengerusi PAC - Wong Kah Woh yang juga merupakan pemimpin pembangkang - mengatakan bahawa jawatankuasa itu berpuas hati dengan penjelasan tersebut.

"Ada anggota PKR dalam PAC," kata Khairy.

[BOLD] Mengapa pemerolehan vaksin Sputnik V dari Rusia hanya diumumkan sekarang? Adakah Malaysia akan menerima vaksin dari India?

Khairy berkata, Sputnik V memang menjadi sebahagian daripada portfolio vaksin dan kini sedang dinilai oleh Badan Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA).

Khairy tidak menjawab soalan mengenai vaksin India.

[BOLD] Mengapa universiti dan firma penyelidikan tempatan Malaysia tidak membuat vaksin?

Khairy berkata kementeriannya membiayai penyelidikan vaksin yang dilakukan oleh Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.

Namun, Malaysia tidak mempunyai fasiliti yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin sebenar.

Walaupun begitu, perjanjian dengan syarikat vaksin merangkumi elemen "nilai tambah" yang akan membantu kapasiti pengeluaran vaksin Malaysia di masa depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS