Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng yang dikaitkan dengan 1MDB, dijangka pulang ke Malaysia 1 Jun ini.

Pihak pendakwaan hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkenaan tarikh jangkaan pulang Ng, yang sedang berdepan kes bon 1MDB AS$6.5 bilion di sini.

Di Amerika Syarikat, Ng akan berdepan perbicaraan atas tuduhan rasuah dan konspirasi pengubahan wang haram. Dia dituduh membantu bekas perdana menteri Najib Razak dan lain-lain menyeleweng sekurang-kurangnya AS$2.7 bilion daripada 1MDB.

Jho Low, atau nama penuhnya Low Taek-Jho, dituduh sebagai dalang dalam penyelewengan berkenaan.

Ng diekstradisi ke Amerika Syarikat pada Mei 2019. Perbicaraannya di New York belum lagi bermula.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin pagi ini, timbalan pendakwa raya Norinna Bahuddin berkata Ng masih di New York, sedang menunggu urusan mahkamahnya di sana.

Norinna berkata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkenaan perkembangan tersebut.

“Tertuduh masih di New York. Menurut DOJ, dia akan pulang ke Malaysia pada 1 Jun,” kata Norinna.

Peguam Ng, Tan Hock Chuan menjelaskan kepada Jamil bahawa mahkamah AS ditutup pada 1 Okt tahun lalu, dan baru saja dibuka semula sekarang.

“Pendengaran di New York belum ditetapkan, dan kami dimaklumkan (perbicaraan di New York dapat bermula) paling awal pada Jun hingga Julai (tahun ini).

“Mahkamah New York ditutup pada 1 Okt (tahun lepas), dan baru sahaja dibuka semula,” kata Tan. Ng tidak kelihatan di mahkamah hari ini.

Jamil kemudiannya menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan lanjut untuk kes bon 1MDB terhadap Ng, yang membabitkan empat pertuduhan.

Sebelum ini di Mahkamah Kuala Lumpur, tuduhan sama turut dihadapkan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapore).

Bagaimanapun, pada 4 Sep tahun lepas, tuduhan terhadap ketiga-tiga entiti di digugurkan, ekoran permohonan pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan berkaitan penjualan bon 1MDB berjumlah hingga AS$6.5 bilion.

Pada 19 Dis 2018, di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Ng minta dibicarakan atas empat tuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion, dengan membuat keterangan palsu dan menutup fakta material.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat 1MDB, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Kesnya itu kemudian dipindahkan untuk didengar di hadapan dua hakim Mahkamah Tinggi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS