Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suntikan percuma vaksin Covid-19 di hospital swasta - Khairy
Diterbitkan:  Mar 15, 2021 4:01 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Individu yang mendapat temu janji suntikan vaksin Covid-19 di hospital atau klinik swasta yang terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tidak perlu membayar sebarang caj, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

"Caj tersebut ditanggung oleh kerajaan," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan program imunisasi itu, di Putrajaya hari ini.

Memperincikan perkara itu, Khairy berkata Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 ditetapkan berdasarkan kepada alamat yang didaftarkan individu melalui aplikasi MySejahtera.

“Kalau pusat suntikan vaksin yang berhampiran dengan alamat yang diberikan adalah hospital swasta maka mereka akan ke hospital swasta. (Semuanya) berdasarkan lokasi sebab kami mahu memudahkan program imunisasi ini,” katanya.

Mengenai perkembangan skim darurat iaitu Tabung Mudarat Vaksinasi Kebangsaan bagi pembayaran pampasan kepada mereka yang menghadapi kesan sampingan selepas suntikan vaksin Covid-19, Khairy berkata perkara itu akan dibincangkan Rabu ini dalam mesyuarat Kabinet dan keputusannnya dijangka diumumkan Isnin depan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS