Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hubungan Umno-Bersatu: PAS yakin ada cahaya di hujung terowong

Pemimpin PAS meletakkan keyakinan betapa masih ada jalan bagi menyelesaikan kemelut antara Umno dan Bersatu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan masih ada cahaya di hujung terowong.

"Kita melihat ketiga-tiga parti (PAS, Umno dan Bersatu) perlu duduk bersama. Nampaknya ada jalan (penyelesaian).

"Insya-Allah cahaya di hujung terowong masih ada," katanya pada sidang media selepas melawat lokasi runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya sejauh mana PAS melihat peluang untuk Umno dan Bersatu meneruskan kerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ia selepas Umno memutuskan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 nanti.

Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai bersama Umno tetap memberi fokus terhadap pengukuhan kerjasama.

"Mesyuarat MN kita buat dua kali seminggu, perbincangan mengenai pilihan raya kita memang sentuh tetapi tidak secara langsung.

"Fokus kita memperkukuhkan muafakat," jelasnya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai pemimpin politik yang lompat parti didakwa kerana ada kes rasuah dan elak didakwa, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

"Saya fikir soal siasatan dan pihak berkuasa, kita berterus terang dan tidak akan berkompromi selain setiap tuduhan harus dibuktikan.

"Mahkamah mempunyai bidang kuasa dan harus siasat sekiranya benar mereka terbabit. Jangan kata bila lompat parti, terus membuat dakwaan sebegitu kerana ahli Parti Amanah Negara dulu pun ramai yang lompat parti," ujarnya mengulas isu membabitkan bekas naib presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS