mk-logo
Berita
KKM maklum S'pura tarik balik telur ayam M'sia dari pasaran
Diterbitkan:  Mar 14, 2021 8:20 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Susulan pencemaran bakteria Salmonella enteritidis terhadap telur di pasaran Singapura, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas premis dan telur ayam terlibat.

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya mengambil maklum mengenai isu penarikan balik telur ayam keluaran Malaysia dari pasaran Singapura itu.

"Laporan tersebut menyatakan pihak Singapore Food Agency (SFA) telah mengarahkan telur ayam tersebut ditarik balik (pada 12 Mac) kerana dikesan tercemar dengan bakteria Salmonella enteritidis.

"Telur ayam yang terlibat mempunyai cetakan kod CES008 yang melibatkan semua batch dari (ladang) Syarikat Lay Hong Berhad Layer Farm di Jeram, Selangor," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata KKM sedang memantau semua telur dari ladang berkenaan.

"Sehingga kini, 364 sampel telur ayam telah dianalisis dan hanya dua dari sampel tersebut mengandungi Salmonella entritidis," katanya.

SFA pada kenyataan Jumaat lalu berkata penarikan telur ayam dari pasaran di Singapura itu sedang berjalan dan penggantungan terhadap produk pengeluar telur itu akan berlangsung sehingga ladang ayam itu menjawab isu pencemaran bakteria itu.

Salmonella enteritidis adalah sejenis bakteria yang boleh hadir dalam salur pencernaan ayam dan boleh mencemari telur ayam melalui pencemaran silang daripada najis ayam kepada telur atau semasa pembentukan telur ayam sekiranya jangkitan Salmonella enteritidis berlaku terhadap tisu-tisu pembiakan ternakan tersebut.

Pengendalian yang tidak sempurna daripada segi kebersihan kulit telur ayam atau telur ayam yang tidak dimasak dengan betul, boleh menyebabkan keracunan makanan (Salmonellosis) di mana individu yang dijangkiti boleh mengalami demam, kekejangan perut, dan cirit-birit bermula 12 hingga 72 jam setelah memakan makanan yang tercemar.

Golongan berisiko seperti orang tua, bayi, dan mereka yang mengalami gangguan sistem imun mungkin akan mengalami gelaja penyakit yang lebih teruk dan memerlukan rawatan di hospital.

"Bagi mengelakkan keracunan makanan disebabkan bakteria ini, pengguna dinasihatkan mencuci telur ayam dengan sempurna sebelum digunakan, elakkan menggunakan telur ayam yang telah retak atau pecah kerana ia mungkin tercemar dengan bakteria Salmonella enteritidis dan memasak telur ayam dengan sempurna sehingga bahagian kuning dan putih telur ayam menjadi keras sebelum dimakan," nasihat pengarah kesihatan.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS