Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undi 18: PN macam tak endah, SPR perlu nyata pendirian - Shafie
Diterbitkan:  Mar 14, 2021 4:28 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menyifatkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengendalikan isu Undi 18 seperti memberi bayangan anak muda tidak penting dalam negara.

Jelas Shafie, sewajarnya perlaksanaan pendaftaran undian secara automatik dapat memberi rangsangan kepada anak muda untuk turut menabur bakti kepada negara, terutama dalam membuat keputusan besar seperti pembentukan kerajaan.

“Kerajaan PN sepatutnya menggunakan peluang ini untuk menggalakkan 4.2 juta anak muda yang berumur 21 tahun dan ke atas yang dilaporkan layak mengundi, tetapi belum mendaftar sebagai pengundi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Untuk rekod Undi 18 membolehkan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas layak mengundi. Melalui inisiatif digerakkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu pendaftaran juga berlaku secara automatik.

Seramai 211 ahli parlimen daripada 222 anggota Dewan Rakyat mengundi menyokong usul meluluskan rang undang-undang itu pada 16 Julai 2019, sebelum diluluskan pula - dengan majoriti dua per tiga - oleh Dewan Negara 10 hari kemudian.

Apabila Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Bagaimanapun Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim baru-baru ini berkata, Undi 18 tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang kerana mempunyai banyak kekangan.

Susulan itu, ia menimbulkan persoalan orang ramai serta ramai pihak mendesak kerajaan untuk memberi kata putus berhubung hal terbabit.

Mengulas lanjut, Shafie yang juga MP Semporna menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menyatakan dengan tegas berhubung perlaksanaan Undi 18 tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pemimpin politik.

Tambahnya, SPR juga perlu mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk parti politik pembangkang dalam kerangka menjayakan Undi 18 ini.

“Sebarang penangguhan dalam proses ini pastinya akan menjejaskan mood anak muda untuk turut sama terlibat dalam pemulihan sistem demokrasi dalam negara kita,” jelasnya.

Bekas ketua menteri Sabah itu juga menekankan kepentingan pelaksanaan Undi 18 kerana ia hak anak muda yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bukan persoalan memberikan kebebasan kepada mereka, ini adalah persoalan hak mereka yang telah dirampas dan wajar dikembalikan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS