Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas CEO Prasarana ragui pengumuman Tajuddin
Diterbitkan:  Mar 12, 2021 3:58 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Walaupun dinyatakan oleh Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dia tidak lagi berkhidmat sebagai ketua pegawai (CEO) syarikat berkaitan kerajaan itu, Muhammad Nizam Alias berkata, dia meragui statusnya sekarang.

Kata Muhammad Nizam sehingga kini dia tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi mengenai penamatan khidmatnya di Prasarana.

Hal itu berbeza dengan pengumuman Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman semalam.

"Ketika ini setakat yang saya tahu lembaga (pengarah Prasarana) belum membuat sebarang keputusan untuk menamatkan khidmat saya.

"Saya juga tidak menerima sebarang notis rasmi daripada mereka berkenaan hal itu.

"Walaupun begitu Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana (Tajuddin) telah memaklumkan khidmat saya berakhir dalam satu sidang media pada 10 Mac," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata Muhammad Nizam sebelum ini Tajuddin terbabit dalam siasatan dalaman Prasarana serta membuat keputusan ke atas dakwaan yang berpunca daripada hubungan mereka berdua.

"Tidak ada sesiapa patut menjadi hakim untuk kemahuan mereka sendiri.

"Justeru adalah lebih baik dia tidak memainkan peranan dalam proses ini.

"Apa yang saya maksudkan ialah mesti ada urus tadbir yang baik di Prasarana dan proses sewajarnya mesti dilakukan dan dilihat ia benar-benar dilakukan," kataya.

Untuk jaga nama masing-masing

Hubungan di antara Tajuddin dan Muhammad Nizam mula menjadi perhatian akhir tahun lalu apabila timbul dakwaan ahli parlimen Pasir Salak itu mencampuri urusan membuat keputusan Prasarana.

Pada 4 Jan lalu Tajuddin berkata dia tidak bersetuju dengan pandangan pegawai "tertinggi" Prasarana yang mendakwa pemilik projek agensi itu tidak sepatutnya masuk campur dalam pemilihan subkontraktor.

Sebaliknya kata Tajuddin apa yang dilakukan cuma "ambil tahu" berhubung pembangunan tersebut. 

Dia juga mendakwa projek pembangunan Prasarana yang diberikan kepada syarikat ada kaitan dengan keluarganya diberi kerajaan sebelum dia dilantik menjadi pengerusi badan itu atau berada dalam kerajaan. 

Semalam Tajuddin mengumumkan pelantikan Norliah Noah sebagai pemangku presiden dan CEO Prasarana berkuat kuasa serta merta.

Kata Tajuddin pelantikan Norliah dibuat selepas perkhidmatan Muhammad Nizam ditamatkan.

Tajuddin Abdul Rahman

Dia juga mendakwa Ahli Lembaga Pengarah Prasarana bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali sebelum membuat keputusan itu, namun tidak dihebahkan untuk menjaga nama masing-masing. 

Muhammad Nizam berkata dia bimbang sidang media Tajuddin semalam memberi gambaran bahawa ahli politik itu berperanan membuat keputusan mengenai perkhidmatannya di Prasarana.

"Saya juga bimbang ini mungkin merupakan cubaan untuk menekan atau memaksa ahli lembaga pengarah.

"Pada pandangan saya, proses siasatan tidak memuaskan. Sama ada wujud campur tangan atau tidak, saya tidak mahu membuat tuduhan di sini, itu terserah kepada undang-undang," katanya.

Untuk rekod sebelum ini portal The Vibes melaporkan Prasarana menggantung tugas Muhammad Nizam selepas Tajuddin dilantik menduduki jawatan berkenaan Mei 2020.

Tajuddin kemudian mengesahkan penggantungan tersebut dan Muhammad Nizam diberikan surat tunjuk sebab berhubung dakwaan salah laku.

Muhammad Nizam berkata pada 22 Jan lalu dakwaan berkenaan digugurkan dan dia hanya didakwa berkelakuan "tidak sopan" terhadap Tajuddin pada suatu majlis.

"Itulah yang saya faham. Saya kemudian diberitahu lembaga akan memutuskan perkara itu dan memaklumkannya kepada saya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS