Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ordinan Darurat beri kuasa luas pada k'jaan lawan 'berita tidak benar'
Diterbitkan:  Mar 11, 2021 7:15 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

Kerajaan telah mewartakan ordinan bagi mengekang apa yang disifatkan sebagai "berita tidak benar" berkenaan wabak Covid-19 dan proklamasi darurat.

Ia dilihat memberi kuasa besar kepada kerajaan terhadap berita yang disifatkan tidak benar.

Ordinan itu, dinamakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021, berkuat kuasa esok, menurut warta kerajaan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut warta itu, mana-mana pihak yang "mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan" berita tidak benar dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain boleh dikenakan tindakan.

Ordinan ini memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan berita tidak benar untuk didapam.

Jika pihak yang terlibat gagal berbuat demikian, mahkamah juga boleh mengarahkan polis atau pihak berkuasa untuk mengambil "langkah-langkah yang perlu" untuk menghapuskan berita tersebut.

Ordinan ini menafsirkan berita tidak benar sebagai "apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea."

Menurut warta yang dikeluarkan, ordinan ini berkuat kuasa walaupun jika ada ketidakselarasan dengan Akta Keterangan 1950.

Ia juga memberi kuasa kepada polis untuk membuat tangkapan, penguatkuasaan, penyiasatan dan pemeriksaan.

Ia juga memberi pihak berkuasa akses kepada data berkomputer serta pemeliharaan data trafik laman web. Ia juga membolehkan pendedahan data trafik kepada polis jika perlu.

Akses tersebut termasuklah kata laluan, kod penyulitan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan.

Kegagalan berbuat dimikian boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi pihak yang menyediakan bantuan kewangan untuk melakukan atau memudahkan kesalahan dilakukan, pihak itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih enam tahun, atau kedua-duanya sekali.

Ordinan ini terpakai kepada semua individu tanpa mengira kewarganegaraan  dan walaupun kesalahan dibuat di luar Malaysia.

Pihak yang bersalah boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan yang berterusan, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Selain hukuman, mahkamah juga boleh mengarahkan pesalah untuk membuat pernyataan maaf kepada orang yang terjejas dengan kesalahan yang dilakukannya, dengan cara yang ditentukan mahkamah.

Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya sekali.

Berkenaan penguatkuasaan, ordinan ini menyatakan setiap kesalahan dibawahnya merupakan "kesalahan boleh tangkap" dan polis berkuasa menangkap mana-mana orang yang dipercayai secara munasabah telah atau cuba melakukan kesalahan di bawah ordinan.

Perlu dinyatakan bahawa ordinan ini memiliki persamaan dengan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan kerajaan BN sebelum PRU14, yang kemudiannya dimansuhkan oleh pentadbiran PH.

Berikut adalah dokumen penuh Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS