Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Macau Scam: IGP serah pada suruhanjaya polis putuskan hukuman pada anggota

Keputusan berhubung 31 anggota polis yang disyaki terlibat dengan Macau Scam akan diserahkan kepada pihak yang lebih tinggi, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Menjelaskan situasi sedia ada, Abdul Hamid berkata tindakan yang dimulakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu perlu mempunyai bukti terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan yang lebih serius diambil oleh pihak PDRM.

"Jadi saya serahkan kuasa yang lebih tinggi daripada saya - pihak Suruhanjaya Pasukan Polis untuk putuskan apakah bentuk hukuman.

"Dan pihak SPP pula mempunyai kuasa sekiranya mereka tak berpuas hati apa yang dilaporkan oleh pihak saya, menerusi JIPS (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) tadi mengarahkan pihak saya mendalami lagi siasatan.

"Jadi ia makan masa. Bukan senang macam tu saja. Berikan saya masa," katanya pada sidang media di Bukit Aman Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempersoalkan mengapa kes 31 anggota polis tersebut tidak dibawa kes ke mahkamah untuk dituduh seperti orang awam yang melakukan jenayah tetapi hanya ditukarkan jawatan.

Pada 9 Mac, NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) mempersoalkan polis yang dikatakan enggan mendakwa anggotanya yang disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam serta kegiatan perjudian dalam talian. 

Minggu lalu Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Zamri Yahya dilaporkan berkata semua 31 anggota berkenaan ditukarkan ke jabatan lain sementara menunggu keputusan mengenai hukuman mereka yang akan diputuskan oleh SPP.

Abdul Hamid berkata siasatan yang dijalankan oleh JIPS mendapati wujud keterangan-keterangan yang menyokong kesalahan itu benar-benar berlaku.

"Kita tiada bukti di situ untuk membuat tuduhan jenayah ke atas mereka sebab ni (tindakan) pada mulanya dari SPRM.

"Kalau kita mulakan tindakan tangkapan, kita kena pastikan bahawa ada bukti di situ supaya objektifnya untuk gunakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan misalnya, atau akta relevan dengan niat pendakwaan," katanya.

Oleh itu, Abdul Hamid berkata kes tersebut perlu disiasat secara teliti sebelum keputusan dan hukuman setimpal diberikan atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Menurutnya, antara hukuman yang menanti apabila dibawa ke pihak SPP termasuk buang kerja, turun pangkat atau apa-apa hukuman yang wajar.

"Mungkin ditahan kenaikan gaji atau dilucutkan hak emolumennya atau mungkin sekadar amaran pun hukuman yang memberikan kesan dalam kariernya sebagai pegawai polis," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS