Jumlah denda kompaun RM10,000 yang dikenakan terhadap pesalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan boleh dikurangkan melalui permohonan di pejabat kesihatan daerah, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Menurutnya, kuasa tersebut bukan berada bawah anggota polis yang memberikan denda tersebut kerana mereka hanya diberikan tugas untuk menawarkan kompaun kepada pesalah.
"Mereka (anggota polis) akan menulis dalam notis kompaun itu nilai RM10,000 sebab dalam Ordinan Darurat ini ia (denda) dinaikkan dari RM1,000 ke RM10,000.
"Perlu diingat yang pegawai polis tidak diberikan kuasa untuk nak mengenakan seseorang itu (denda) RM10,000 ke, RM5,000 ke.. Tidak ada kuasa dibenarkan kepada mana-mana pegawai polis.
"Jadi dalam notis tersebut akan ditulis RM10,000.
"Tetapi sebagaimana yang saya sarankan sebelum ni, sasaran nilai tinggi kompaun ni ditujukan kepada pesalah berulang yang degil," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya bagi pesalah berulang, nama-nama mereka telah dimasukkan ke dalam sistem komputer polis.
Dia turut memberi contoh bahawa sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka dan dikenakan denda, jumlah saman akan dipertimbangkan berdasarkan beberapa faktor-faktor.
Ini termasuk mengambil kira latar belakang pekerjaan seseorang itu seperti pekerja buruh, pekerja sambilan, yang berkemungkinan akan diturunkan sehingga RM50.
Sebelum ini, dilaporkan individu yang melanggar sekatan PKP akan berdepan hukuman lebih tegas bermula 11 Mac, di bawah pindaan Ordinan Darurat bagi mengekang penularan Covid-19.
Bagaimanapun ia dikritik oleh ramai pihak kerana berpendapat tindakan kerajaan itu membebankan terutamanya ketika ramai yang tidak berkemampuan sewaktu pandemik melanda negara.
Antara lain, kompaun untuk kesalahan di bawah Akta itu dinaikkan dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 bagi syarikat.
Sekiranya kes dibawa ke mahkamah, sesuatu kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM100,000, penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya.
Namun, Abdul Hamid berkata orang ramai tidak perlu gentar kepada undang-undang selagi tidak melanggarnya.
"Senang sangat nak dipatuhi. Kawal nafsu kita, nafsu nak balik kampung setiap hujung minggu, balik kampung bila ada cuti sedikit.
"Kita mendedahakan diri kita kepada risiko jangkitan - membawa ahli keluarga kita dari satu tempat ke satu tempat," katanya.