Kerajaan diminta menyatakan pendirian sebenar berhubung pelaksanaan Undi 18 selepas Yang Dipertua Dewan Negara membayangkan wujud kekangan untuk merealisasikannya.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini pemuda Parti Perjuang Tanah Air (Pejuang) berkata penjelasan daripada Putrajaya diperlukan agar status sebenar pelaksanaan Undi 18 dapat diketahui.
Katanya hal itu ingin diketahui orang ramai khususnya golonan muda.
"Pimpinan Muda Pejuang amat terkejut dengan kenyataan yang dibuat Rais Yatim seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia bahawa kelayakan mengundi pada usia 18 tahun tidak dapat diteruskan pada Julai ini.
"Sungguhpun Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu telah sempurna diluluskan di parlimen, yang dipertua Dewan Negara itu bukan sahaja tidak menghormati lunas perlembagaan malah memperkecil kemampuan anak muda membuat pilihan dalam pilihan raya," katanya.
Menurut sudah 19 bulan berlalu sejak rang undang-undang itu diluluskan justeru tidak mungkin senarai pengundi muda masih belum dapat disediakan.
"Alasan politik yang diberikan adalah tidak dapat diterima sama sekali. Bahkan, segala medium yang mungkin mengalami kesulitan boleh dicari jalan keluarnya agar partisipasi anak muda boleh diperluas bagi menentukan masa depan negara melalui peti undi," katanya.
Mereka juga berpendapat kenyataan Rais itu menghina proses demokrasi parlimen negara.
Dalam persediaan pelaksanaan
Utusan Malaysia semalam melaporkan Rais sebagai berkata pelaksanaan Undi 18 tidak dapat diteruskan walau rang undang-undang mengenainya sudah diluluskan.
Rais yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata ada banyak kekangan yang perlu diatasi sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi muda.
“Ini soal politik. Walaupun sudah lulus, tetapi memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu memakan masa yang sangat lama. Ia kena diambil dari Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan-kawasan (di seluruh negara).
“Ia sekali gus melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan terdedah dengan tempoh masa yang lama," katanya.
Undi 18 adalah langkah memberi ruang kepada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas menjadi pemilih. Ia digerakkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Sebelum pindaan itu dibuat, umur minimum untuk pengundi di negara ini ialah 21 tahun.
Pada 3 Non lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.
Kata Takiyuddin SPR kini dalam proses melakukan beberapa persiapan untuk pelaksanaan perkara itu termasuk bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara.
Sementara itu salah seorang pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga mendesak Perikatan Nasional (PN) menyatakan pendirian mereka terhadap komen Rais.
Bukan orang calang-calang
Menurut Lim Wei Jiet, kenyataan Rais itu sangat mengejutkan terutama selepas komitmen mengenai Undi 18 sudah dinyatakan Takiyuddin sebelum ini.
"Bahkan SPR sendiri melalui timbalan pengerusinya Azmi Sharom semalam menyatakan bahawa agensi itu sudah bersedia untuk melaksanakan Undi 18.
"Maka mengapakah Rais tiba-tiba membuat pusingan U sebegini? Atas arahan atau gesaan siapa beliau membuat kenyataan sebegitu?
"Rais bukan calang-calang orang dalam pentadbiran kerajaan ini.
"Beliau adalah yang dipertua Dewan Negara. Beliau juga anggota MPT Bersatu, iaitu parti perdana menteri dan tunggak kerajaan PN," katanya.
Menurut Lim erajaan PN mesti menyatakan pendirian mereka dengan segera mengenai status Undi 18.
"Persoalannya senang sahaja: Adakah mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun berhak untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-15?
"Jangan sekadar beri kenyataan yang melepaskan batuk di tangga," katanya.
Menurut Lim tanpa jawapan dan komitmen yang khusus Muda akan beranggapan kerajaan sedang menafikan hak golongan muda berusia di antara 18 hingga 20 tahun untuk menjadi pengundi.
"Kita tidak harus lupa bahawa Undi 18 telah diluluskan secara sebulat suara pada 2019 oleh semua ahli parlimen.
"Jangan kita khianati niat parlimen pada detik bersejarah tersebut untuk memperkasa hak anak muda menentukan nasib mereka," katanya.