Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SU politik Hamzah lapor polis terhadap Lokman Adam
Diterbitkan:  Mar 10, 2021 8:05 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Setiausaha Politik Hamzah Zainudin membuat laporan polis terhadap bekas pemimpin Umno, Lokman Noor Adam kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu menawarkan wang kepada Ahli Parlimen Sekijang (PKR), Natrah Ismail untuk melompat parti.

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad membuat laporan berkenaan bagi meminta polis menyiasat Lokman berhubung ucapan yang disiarkan secara langsung di laman Facebook, Sabtu lalu.

"Di dalam hantaran tersebut Lokman Adam telah mengeluarkan fitnah terhadap Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menteri dalam negeri dan setiausaha agung Perikatan Nasional, yang menyebut YB Natrah mengatakan bahawa beliau didatangi seorang Datuk Seri. 

"Datuk Seri itu ialah Hamzah Zainuddin dan telah menawarkan sekian jumlah harga, supaya YB Natrah melompat menyertai Bersatu dan memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kenyataan ini adalah berniat jahat, fitnah, menghasut dan memupuk perasaan benci dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan serta mendatangkan perasaan tidak tenteram rakyat terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia turut memfitnah peribadi perdana menteri dan menteri dalam negeri dengan tuduhan membeli ahli parlimen," katanya dalam laporan polis berkenaan.

Laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Travers, Brickfields petang tadi.

Selain Facebook, Sayed Amir berkata klip video itu juga tular di platform WhatsApp.

Justeru dia mengesa pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh terhadap Lokman, yang merupakan bekas anggota Majlis Tertinggi Umno.

Dalam siaran langsung selama 50 minit di Facebook baru-baru ini, Lokman mendakwa Hamzah diarahkan oleh Muhyiddin untuk "membeli" anggota parlimen menjelang pilihan raya umum ke-15.

Minggu lalu, Natrah mendakwa terdapat usaha untuk memintanya agar menyokong kepimpinan Muhyiddin, namun dia menolaknya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membuka kertas siasatan berhubung dakwaan bahawa Natrah ditawarkan RM10 juta melompat parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS