Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis Cheras siasat kematian dalam tahanan, NGO tuntut inkues
Diterbitkan:  Mar 10, 2021 3:40 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

NGO hak asasi manusia menimbulkan kebimbangan mengenai satu lagi kes kematian dalam tahanan, kali ini membabitkan lokap ibu pejabat polis daerah Cheras.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon yang mengesahkan kematian tersebut berkata mangsa bersendirian di dalam lokap ketika ditemui mati.

Polis telah memulakan siasatan dan setakat ini mengklasifikasikan kes itu sebagai "kematian mengejut". 

Dalam satu kenyataan hari ini, NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) menggesa inkues diadakan.

"Edict bimbang dengan meningkatnya trend kematian dalam tahanan.

“Kami difahamkan polis mendakwa mangsa menggantung dirinya dalam lokap. Tuduhan ini tidak masuk akal kerana setiap lokap selalu dipantau oleh CCTV dan beberapa pegawai polis setiap masa.

"Edict menegaskan bahawa siasatan mesti diadakan untuk menyiasat kes ini " katanya.

Edict yang menyediakan bantuan guaman kepada mangsa dan keluarga mereka berkata Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah menetapkan siasatan adalah wajib bagi kes kematian dalam tahanan.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan Mohamed Mokhsein berkata, mangsa lelaki berketurunan Tionghua dan berusia 54 tahun itu didapati menggantung diri dalam sel lokap pada Isnin (8 Mac) sekitar jam 12.30 malam.

"Kejadian itu disedari petugas lokap ketika proses membawa keluar tahanan lain di sel lokap bersebelahan untuk proses siasatan kes lain.

"Ketika kejadian, lelaki itu berada di sel lokap berseorangan kerana tahanan lain yang ditempatkan dalam sel sama sudah dibawa keluar ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mokhsein berkata kes berkenaan kini dalam siasatan.

"Bedah siasat sudah dijalankan di HCTM (Hospital Canselor Tuanku Mukhriz) semalam dan siasatan lanjut diteruskan mengikut kes kematian mengejut (SDR).

"Siasatan dalaman oleh pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard turut dibuat ke atas petugas lokap," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS