Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Abu Dhabi untuk memulakan lawatan rasminya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), destinasi kedua dalam lawatannya ke negara Timur Tengah.
Perdana Menteri berlepas dari Riyadh di Saudi Arabia dan tiba di sini pada pukul 11.50 malam Selasa (3.50 pagi Rabu di Malaysia).
Beliau dijadualkan melawat Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Rabu.
Muhyiddin kemudiannya akan berlepas ke Dubai untuk mengadakan perjumpaan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE yang juga pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Menurut Wisma Putra, lawatan itu akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan dan pertumbuhan, terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan keselamatan makanan, kesihatan dan perhubungan diplomatik.
UAE merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah.
Status UAE sebagai hab perdagangan antarabangsa dan kewangan menjadikan ia sebagai rakan penting bagi Malaysia untuk mendapat akses kepada pasaran baru.
Malaysia pula merupakan gerbang yang kritikal bagi produk dan perkhidmatan UAE di Asia Tenggara.
Perbincangan dengan UAE antara lain akan tertumpu kepada kolaborasi dan fasa pemulihan pasca pandemik, jaminan makanan, dan mengukuhkan kerjasama dalam bidang industri minyak dan gas.
Muhyiddin akan berlepas pulang ke tanah air pada hari Khamis.
- Bernama