Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin: Hormat keputusan Bersatu T'ganu nak tandingi kerusi Umno tapi...

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohamed Azmin Ali berkata dia menghormati pendirian Bersatu Terengganu yang mahu bertanding di semua kerusi Umno di negeri itu pada PRU15.

Katanya, pendirian tersebut adalah pandangan kepimpinan Bersatu peringkat negeri.

Bagaimanapun, katanya, di peringkat pusat Bersatu mengambil pendirian untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara rakan sekutu Perikatan Nasional (PN).

“Itu pandangan negeri, mungkin pandangan bahagian dan kawasan, kita kena hormatlah.

“Tetapi bila pandangan ini diangkat ke peringkat pusat presiden parti, pimpinan Majlis Tertinggi sudah tertentu akan memberikan kepimpinan terbaik mungkin.

“Sebab itu pendirian yang kita ambil adalah kita akan terus memperkukuhkan kerjasama dalam PN dan kita sedia kerjasama dengan mana-mana parti yang menerima dasar perjuangan dan idealisma prinsip-prinsip yang terkandung dalam PN,” jelasnya.

Azmin berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan sempena ulang tahun perkhidmatan menteri kanan itu di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dia mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Terengganu, Razali Idris (gambar, bawah) yang menerima dengan hati terbuka keputusan Umno untuk menamatkan kerjasama dua parti itu sebaik PRU15 bermula.

Sebelum ini, Azmin berkata dia berharap Umno mengkaji semula keputusan mengakhiri kerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.

Razali dipetik Utusan Online hari ini berkata Bersatu bersedia meletakkan calon di semua kerusi yang akan ditandingi Umno di Terengganu.

Ini selepas Umno Terengganu dilaporkan mahu bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan parlimen pada PRU15.

Februari lalu, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Ahmad Said dilapor berkata parti itu tidak akan memberi peluang kepada Bersatu mahupun PAS, sebaliknya akan bertanding di semua kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU akan datang.

Dia yang juga bekas menteri besar Terengganu menegaskan tiada gabungan Muafakat Nasional (MN) Umno bersama PAS di negeri itu, selain tidak menyertai gabungan PN untuk membolehkan parti itu mengalah kepada Bersatu.

Menurutnya, satu-satunya kerusi milik Bersatu iaitu Parlimen Hulu Terengganu adalah milik Umno sebelum Rosol Wahid melompat parti menyertai Bersatu.

Mengulas lanjut kerjasama dengan rakan sekutunya itu, Azmin yang juga ketua penerangan PN berkata kerjasama gabungan itu berdasarkan prinsip saling hormat menghormati.

“Kita saling mendengar pandangan anggota parti dan dengan usaha inilah kita dapat menghasilkan keputusan yang terbaik.

“Yang kedua kita berteraskan prinsip urus tadbir yang baik, kita mempertahankan prinsip-prinsip badan kehakiman.

“Kita tidak akan bertolak ansur, kita perangi rasuah habis-habisan. Saya ulangi dalam ucapan saya ingatkan diri saya dan keluarga saya di MITI

“Ini prinsip-prinsip yang harus diterima oleh anggota PN dan semua ini kita boleh capai kalau ada persaudaraan dan perpaduan yang utuh dalam PN.

“Maka keputusan MT Bersatu sementara kita mendengar pandangan daripada segelintir pemimpin Umno. Tetapi bagi pendirian Bersatu PN akan terus melangkah ke hadapan untuk perpaduan dan untuk mewujudkan suasana yang lebih stabil. Itu matlamat yang cukup murni yang kita akan pertahankan,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS