Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Isu kusut yang menjerat tenaga kerja migran Indonesia di Malaysia berpunca daripada masalah yang dikenal pasti dari tempat asal mereka bahkan sebelum memulakan perjalanan yang kadang kala dilihat amat berbahaya.

Pihak agensi pekerjaan yang tidak bertanggungjawab dilihat menyasarkan kebanyakan rakyat Indonesia di kawasan miskin dan mengumpan janji manis kepada mereka mengenai peluang pekerjaan di luar negara yang menguntungkan.

Memang, ada pendatang yang beruntung kerana meraih kerja dengan gaji lumayan serta persekitaran selesa, namun ramai migran yang telah dieksploitasi dan diletakkan dalam keadaan tertindas.

lni antara penemuan kajian selama tiga tahun yang dilaksanakan Universiti Muhammadiyah di Jakarta, antara tahun 2018 dan 2020, mengenai corak komunikasi pekerja migran Indonesia di Malaysia dan Hong Kong, dengan keluarga mereka di tempat asal mereka.

Penyelidik yang terlibat dalam kajian itu, Amin Shabana berkata, dapatan menunjukkan kebanyakan pekerja Indonesia yang datang ke Malaysia dari Lombok.

Pekerja dari wilayah ini, kata Amin dikenal pasti memiliki senarai panjang masalah sebelum mereka datang ke Malaysia.

“Individu tidak bertanggungjawab akan berjumpa keluarga calon pekerja berpotensi warga Indonesia, meyakinkan mereka untuk menghantar anak keluar negara melalui jalan yang di luar aturan,” kata Amin pada webinar Jumaat (5 Mac) lalu, yang dianjurkan oleh akhbar Indonesia, Kompas dan dibantu Yayasan Sasakawa Peace dari Jepun.

“Kami mendapat majoriti pekerja Indonesia diambil bekerja bawah kontrak jangka pendek.

“Majoriti dari Lombok bekerja di kilang, manakala sebilangan besar wanita berasal dari Cirebon, Jawa, bekerja sebagai pembantu rumah," katanya.

Romidi, bekas pekerja migran dari Lombok yang telah ke Malaysia sebanyak empat kali selama sembilan tahun, sebelum pulang ke kampung halamannya selepas wabak Covid-19 melanda.

Rosmidi berkata, dia telah bekerja dengan majikan berbeza setiap kali masuk ke Malaysia. Ini katanya bagi mendapatkan gaji lebih tinggi daripada bayaran bulanan RM1,200 sebagai mekanik kilang.

“Di Lombok, banyak perekrut (pekerjaan haram) mencari mangsa dengan menjanjikan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada calon pekerja migran.

“Untuk kerja terakhir di Malaysia, saya terpaksa bayar ejen sembilan juta rupiah (RM2,557) dan ada lagi tambahan potongan gaji,” jelasnya.

Menurut Amin lagi, untuk menyelesaikan masalah pekerja migran tidak sah ini, ia memerlukan pengawasan ketat kerajaan untuk menghalang usaha ejen haram yang mengaku mewakili syarikat agensi pekerjaan sah.

Katanya, kerajaan boleh meneroka penggunaan aplikasi digital yang dirancang untuk membantu pekerja migran Indonesia dalam melaporkan sebarang tuduhan pelanggaran hak.

Ketika dihubungi, Amin berkata pihak kedutaan Indonesia di Malaysia memberitahunya aplikasi itu sudah dibangunkan sejak pertengahan tahun 2019, namun perkembangannya telah ditangguhkan.

Antara fungsi aplikasi itu, merangkumi pangkalan data digital pekerja Indonesia di Malaysia dan akses terhadap pelbagai perkhidmatan yang ada.

Bekas pekerja migran lain, Figo Kurniawan, berkata masalah aliran keluar tenaga kerja dari Indonesia antaranya berpunca daripada kemiskinan.

Ramai yang terpaksa meninggalkan kampung halaman untuk mendapat masa depan lebih cerah, malah ada yang menyabung nyawa sendiri demi hasrat menampung nafkah keluarga.

‘Undang maut di laut’

Figo sendiri antara seorang daripada 180,000 pekerja migran yang dihantar pulang menerusi pelan pemutihan ‘Back For Good’ yang berakhir pada 31 Disember 2019.

Dia telah menghabiskan masa selama 12 tahun di Malaysia, 20 bulan terakhir tanpa permit sah.

Figo berkata dia dan rakan-rakannya tidak bersetuju syarat menyertai pemutihan itu yang termasuk diharamkan masuk semula ke Malaysia selama-lamanya.

“Oleh itu mereka secara sedar memilih (untuk meninggalkan Malaysia) dengan cara di luar peraturan.

“Risiko, tanpa ragu-ragu lagi boleh mengundang maut di laut, "katanya yang menyingkap kembali perjalanan berbahaya antara dua jam hingga 10 jam di laut terbuka melalui pelbagai laluan tikus,” jelasnya.

Sementara itu, usaha perjalanan haram dari Indonesia serta tekanan ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19 menyaksikan pihak berkuasa Indonesia berjaya mematahkan 519 percubaan tahun lalu dari hanya satu daerah sahaja iaitu Batam, di wilayah Kepulauan Riau.

Batam merupakan lokasi terkenal kemasukan bagi pekerja migran melakukan perjalanan ke Malaysia dan Singapura kerana ia paling dekat.

Meskipun ramai berjaya untuk berangkat dari Indonesia namun mereka masih gagal sampai ke destinasi.

Usaha pihak berkuasa dari Malaysia menerusi Ops Benteng menyaksikan penahanan 12,087 pendatang asing dan 922 pengendali bot antara Mei tahun lalu hingga 26 Feb 2021.

Kebanyakan migran yang ditangkap dipercayai dari Indonesia.

Menurut data kerajaan Indonesia, permulaan wabak Covid-19 pada tahun 2019 dan penutupan perniagaan serta tapak pembinaan menyaksikan peningkatan pulang pekerja migran. Ini termasuk 38,257 pekerja yang berlepas dari Johor ke Batam.

Tidak terkecuali, 2,146 pekerja migran yang tidak mempunyai dokumen dihantar pulang oleh pihak berkuasa Malaysia.

Ia menyebabkan lebih 40,000 jawatan kosong yang pada awalnya disasarkan untuk diganti oleh rakyat tempatan.

Aktivis buruh dari Batam, RD Chrisanctus Paschalis Saturnus Esong berkata, wabak Covid-19 telah menyaksikan pendedahan kawasan “hot spot” bagi pekerja migran yang sebelum ini dikenal pasti di Nusa Tenggara Timur, Nusa Tenggara Barat dan Jawa.

“Ramai orang, suka atau tidak, perlu ke luar negara untuk kerja. Mereka tiada pilihan,” kata Paschalis.

Jurucakap kedutaan Indonesia di Malaysia, Yoshi Iskandar turut menganggarkan 4,000 rakyat mereka menunggu dihantar pulang dari pusat tahanan Imigresen di seluruh negara, manakala 50,000 yang lain telah pulang sejak tahun lalu.

Memasuki tahun baru, Yoshi berkata 222 rakyat Indonesia telah dihantar pulang menerusi pelan Rekalibrasi pendatang tanpa izin yang dilancarkan November hingga Jun tahun lalu.

“Selepas pulang, tolong jangan datang secara tidak sah lagi,” katanya.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS