mk-logo
Berita
Dua bekas bos SPRM dilantik ahli lembaga Prasarana - Tajuddin
Diterbitkan:  Mar 9, 2021 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Dua bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilantik sebagai anggota lembaga pengarah Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, menurut pengerusinya, Tajuddin Abdul Rahman.

Utusan Malaysia memetik Tajuddin sebagai berkata, Abu Kassim Mohamed dan Mustafar Ali dilantik ke jawatan itu berkuatkuasa 15 Februari.

Sebelum pelantikan mereka, Abu Kassim pernah berkhidmat sebagai ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional, manakala Mustafar mengetuai Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).

Sementara itu, Tajuddin turut mengumumkan pelantikan Norliah Noah sebagai pemangku presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Prasarana berkuat kuasa serta merta.

“Datin Norlia bukanlah seorang yang asing dengan Kumpulan Prasarana. Sejak mula berkhidmat di sini pada 2004, beliau memegang jawatan penting seperti Pengarah Projek LRT3, Ketua CAPEX Rel dan Ketua Pegawai Teknikal Kumpulan Prasarana sebelum dilantik Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) tahun lepas,” katanya.

Tajuddin berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di Depoh Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang, semalam.

Dia berkata pelantikan Norliah dibuat selepas perkhidmatan Muhammad Nizam Alias ditamatkan.

Katanya, Ahli Lembaga Pengarah telah bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali sebelum membuat keputusan itu, namun tidak dihebahkan untuk menjaga nama masing-masing.

Pada 8 Dis lalu, portal The Vibes memetik sumber berkata penggantungan Nizam susulan ketegangan di peringkat kepimpinan selepas pelantikan Tajuddin sebagai pengerusi Prasarana pada Mei tahun yang sama.

Pada masa itu, nama Norlia Noah disebut akan menjadi CEO kumpulan sementara.

Tajuddin, yang mengulas dakwaan campur tangan dalam keputusan lembaga pengarah kemudian menegaskan bahawa Prasarana sebagai pemilik projek LRT3 berhak mengetahui pemilihan subkontraktor oleh kontraktor turnkey projek itu, MRCB-George Kent.

Projek LRT3 antara Bandar Utama- Johan Setia dimulakan pada bulan Ogos 2015 dengan anggaran awal RM10 bilion, namun kosnya meningkat tiga kali ganda kepada RM31.65 bilion.

Ia adalah antara beberapa projek mega yang dikaji semula oleh kerajaan pusat setelah Pakatan Harapan berkuasa pada Mei 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS