Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Setelah 2 tahun buat aduan, peniaga dakwa jalan makin teruk akibat Suke

Peniaga dan penduduk di Taman Len Seng dan Alam Damai di Kuala Lumpur menggesa pihak bertanggungjawab meneliti keadaan jalan yang rosak yang didakwa susulan pembinaan lebuh raya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) berhampiran kedai mereka.

Menurut wakil peniaga di Alam Damai, Kenny Lin See Wai, 45, keadaan jalan makin buruk meskipun dia dan para peniaga lain telah membuat aduan sejak dua tahun lalu.

Pada 14 Jun 2019, Lin dan sejumlah peniaga lain mengadakan perbincangan dengan wakil konsesi Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) untuk menyatakan kerugian yang ditanggung mereka akibat projek itu.

Hari ini, Lin mendakwa Prolintas telah menutup empat simpang jalan ke kawasan perniagaan mereka lalu memburukkan lagi keadaan.

“Penutupan laluan ke kawasan perniagaan kami telah menjejaskan pelanggan untuk datang ke kedai di kawasan ini.

“Kalau pelanggan hendak datang ke kedai, mereka perlu gunakan laluan yang sangat jauh dan sempit,” katanya kepada Malaysiakini.

Lin mendakwa Prolintas ada membuat laluan alternatif kepada penduduk sekitar pada tahun lalu, namun ia terlalu sempit dan sering sesak.

"Ia juga tidak dilengkapi dengan papan tanda. Ini menyebabkan kekeliruan dan kesesakan jalan,” dakwanya sambil menambah pihaknya ada membuat aduan kepada Prolintas pada sejak awal tahun ini namun masih tiada respons.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Len seng, Low Yat Lee, 54, berkata keadaan sekitar kawasan perumahannya turut terjejas dengan kerja pembinaan lebuh raya itu.

Antara masalah yang muncul adalah penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif untuk masuk ke taman perumahan, katanya.

“Saya kena lalui jalan perumahan lain untuk sampai kawasan saya dan jalan itu juga sangat sesak. Dulu lima minit saja boleh sampai rumah sekarang ambil masa 20 ke 30 minit,” katanya.

Dia mendakwa beberapa penduduk telah berpindah kerana tidak tahan dengan keadaan itu.

“Dulu ada tadika. Itu pun sudah tutup, jiran saya juga sudah pindah kerana mereka sudah tidak tahan,” katanya lagi yang sudah tinggal di kawasan perumahan itu sejak 3 tahun lalu.

Sementara itu, pihak Prolintas ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya mengambil maklum tentang aduan tersebut dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS