Tidak akan ada kerjasama politik antara DAP dan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.
Lim dipetik Bernama berkata pendirian parti itu konsisten tetapi menjelaskan DAP hanya bersedia bekerjasama dengan Umno apabila ia akan memberi manfaat kepada rakyat.
“Selagi ia untuk kebaikan rakyat, kita sanggup memberi sokongan...atas tujuan tertentu berhubung isu berkaitan kepentingan dan manfaat rakyat.
"Tiada kerjasama atas dasar kepentingan parti dengan Umno," katanya hari ini.
Kata Lim, tindakan mengambil pendekatan untuk tujuan tertentu tidak bermakna bekerjasama dengan Umno tetapi sanggup bekerjasama demi kepentingan rakyat seperti menggesa mengadakan sidang parlimen.
Dia menjelaskan semasa persidangan parlimen yang lalu, DAP juga tidak menentang usul daripada PAS mengenai langkah Covid-19.
Sementara itu, Lim yang juga ahli parlimen Bagan turut dilaporkan berkata DAP tidak akan menyokong amalan melompat parti, sesuai dengan prinsip urus tadbir baik bersih walaupun tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menyatakan tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno dalam PRU akan datang.
Ini susulan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada minggu lalu mengutus surat kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memaklumkan Umno tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.
BACA BERKAITAN:
Rundingan kerusi dalam PH sudah bermula, tak tolak kerjasama Umno