Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu sambut baik pendirian Umno Sabah mahu terus kerjasama
Diterbitkan:  Mar 7, 2021 3:55 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Bersatu menyambut baik pendirian Umno Sabah untuk terus bekerjasama menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah membuktikan rakyat negeri itu mahu melihat perpaduan erat dapat dibentuk demi kestabilan politik.

"Negara memerlukan satu bentuk kestabilan politik yang padu untuk menangani isu lebih besar iaitu ekonomi dan pembangunan negara.

"Rakyat menaruh harapan agar pendekatan politik yang diambil satu pendekatan yang menjanjikan kestabilan politik dan masa depan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Jumaat lepas, Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin dilaporkan berkata Umno Sabah yang memiliki autonomi akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan parti-parti lain menerusi GRS.

Semalam, Ketua Bersatu Sabah Hajiji Noor menyifatkan kerjasama utuh antara Bersatu dengan Umno Sabah tidak tergugat dengan senario politik semasa di Semenanjung.

Sebelum ini, media melaporkan pada 26 Feb lalu Umno telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno ingin memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Dalam pada itu, Ronald berkata pendirian Umno Sabah itu harus diterjemahkan ke peringkat nasional untuk membentuk satu gagasan politik yang dapat menjanjikan kestabilan politik menjelang pilihan raya umum akan datang.

Katanya, perpaduan antara parti-parti dalam PN harus menjadi teras kepada pendekatan dan penjajaran politik yang baru di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS