Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Lihat 'Islam sebagai agama Persekutuan' dalam konteks pentadbiran

ULASAN | Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kolum Minda Presiden menulis artikel bertajuk 'Merdekakan Perlembagaan'. Tulisan itu tidak menyebut secara khusus tentang keputusan kes seks luar tabii pada akhir bulan lalu, namun isinya tetap menyentuh keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut.

Tulisan tersebut antara lain mengulas mengenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Sebelum ini saya pernah menyatakan kenapa pemahaman Islam sebagai agama Persekutuan tidak seharusnya difahami dalam konteks Islam sebagai ad deen (cara hidup).

Hujahan yang dikemukakan adalah maksud Islam sebagai agama Persekutuan dilihat dalam konteks pentadbiran. Maka, adalah tidak tepat sekiranya Minda Presiden itu menggunakan konsep Islam sebagai ad deen dalam soal Islam sebagai agama Persekutuan.

Bagi orang Islam mereka menerima konsep Islam sebagai ad deen tetapi bagaimanakah caranya untuk mentadbirkan Islam itulah yang dibahagikan bidang kuasa masing-masing mengikut kuasa Persekutuan dan Negeri. Secara asasnya, Perlembagaan tidak melarang untuk pengamalan agama Islam dan sekatan itu hanya dalam perkara-perkara tertentu. Justeru, sekatan itu boleh dibuang jika Perlembagaan dipinda tetapi buat masa ini perlu bagi semua pihak mengikut apa yang tertulis dalam Perlembagaan supaya keharmonian tetap terpelihara.

Selanjutnya tulisan Minda Presiden menerangkan mengenai sejarah penggubalan Perlembagaan. Jika dilihat daripada tulisan itu seolah-olah menyalahkan Suruhanjaya Reid yang mana terdiri daripada semua warga asing dan bukan warga tempatan. Hal itu memang betul namun pemahaman begitu agak kurang tepat.

Suruhanjaya Reid terikat dengan terma-terma rujukan yang diberikan. Ada 5 terma rujukan yang diberikan:

  • Pembentukan sebuah persekutuan dengan kerajaan pusat yang kuat.
  • Pemeliharaan kedudukan, keistimewaan, kehormatan dan hak raja-raja.
  • Mewujudkan jawatan ketua negara bergelar Yang di-Pertuan Agong.
  • Pemeliharaan hak istimewa orang Melayu tanpa mengabaikan hak-hak kaum lain.
  • Pembentukan sebuah sistem kewarganegaraan yang seragam untuk seluruh Tanah Melayu.

Cadangan awal Suruhanjaya Reid tidak memasukkan soal Islam sebagai agama Persekutuan tetapi dimasukkan kemudiannya setelah Kertas Putih diterbitkan. Setelah itu, Cadangan Perlembagaan itu telah dirujukkan kepada Raja-raja Melayu dan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan. Ini menunjukkan bahawa Suruhanjaya Reid tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan draf Perlembagaan tetapi draf itu kemudiannya diserahkan kepada pemegang taruh.

Apa-apa pun, Malaysia telah merdeka lebih 60 tahun dan nasib Perlembagaan itu sebenarnya terletak di tangan ahli-ahli Parlimen. Sekiranya ahli-ahli Parlimen itu sepakat ingin memindanya maka ia boleh dipinda. Jadi adalah tidak adil untuk menyalahkan Suruhanjaya Reid sahaja.


Baca: 'Tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya'


Minda Presiden selanjutnya mengecam "para hakim yang baru, hilang sensitiviti agama. Mereka membuat keputusan berasaskan buku yang dibaca, bukan mengikut pertimbangan akal yang mempunyai budi bicaranya; ...mereka menyembunyikan pentafsiran perkataan agama mengikut kehendak mereka dengan makna yang sempit, dan merampas kuasa politik dan pentadbiran secara tersembunyi tanpa difahami rakyat.; Malangnya ada dalam kalangan Melayu-Islam yang tiada dalam hatinya kepekaan terhadap Islam."

Paling berat adalah apabila Minda Presiden menyatakan, "Apabila berlakunya keputusan mahkamah yang berani mencabar terhadap Enakmen Jenayah Syariah Selangor, menjadikannya laksana batu besar yang dihempas ke dalam lubuk yang tenang. Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya".

Bagi orang biasa kata-kata ini boleh ditafsirkan sebagai menghina Mahkamah Persekutuan. Adalah amat tidak wajar menyamakan hakim atau mahkamah sebagai 'buaya belaan penjajah British yang tiba-tiba mendongakkan kepala". Kalau keluarga kita dipanggil sebagai buaya penjajah pun kita akan marah.

Kita ingin lihat sama ada Peguam Negara ingin mengambil apa-apa tindakan terhadap penghinaan kepada hakim dan keputusan Mahkamah Persekutuan sepertimana yang dibuat ke atas Malaysiakini baru baru ini. Kita tidak mahu nanti wujud pula tohmahan orang ramai bahawa Malaysia ini mempunyai undang-undang bersifat dua darjat.


ZULQARNAIN LUKMAN adalah pengarah Biro Undang-undang Amanah (Kanun).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS