Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS mahu Umno buktikan setia kawan
Diterbitkan:  Mar 5, 2021 6:09 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

PAS hari ini mencabar Umno untuk membuktikan semangat setia kawannya sebagai rakan seperjuangan yang setia dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini selepas gabungan parti itu menyatakan tekad untuk membina penyatuan ummah.

"Buktikan setia kawan dengan menjadi kawan yang setia. Kita telah tekad untuk membina penyatuan ummah, mari kita buktikan.

"Pemimpinlah yang menggerakkan rakyat agar bersatu, bukan rakyat menyuruh pemimpin bersatu. Apakah ini sebahagian daripada norma baru? soalnya dalam satu hantaran di Facebook, petang ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian dipercayai merujuk surat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hmaidi bertarikh 26 Feb yang menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN hanya akan diteruskan sehingga pembubaran parlimen.

Umno mengesahkan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Susulan itu Bersatu mengadakan mesyuarat majlis pimpinan tertingginya (MPT) di Putrajaya semalam, antara lain bagi membincangkan mengenai hubungan parti itu dengan Umno.

Bagaimanapun, selepas kira-kira dua jam bermesyuarat MPT Bersatu tidak memutuskan secara jelas mengenai hubungan parti itu dengan Umno.

Namun, setiausaha agungnya Hamzah Zainudin dalam kenyataan berkata Bersatu memandang serius kandungan surat yang dihantar Ahmad Zahid yang mempunyai implikasi besar terhadap kerjasama di antara Bersatu dan Umno pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata oleh kerana Umno telah menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN hanya akan diteruskan sehingga pembubaran parlimen adalah wajar untuk parti itu membuat kenyataan yang selari dengan kerajaan PN.

"Kalau kenyataan rasmi menyatakan sokongan kepada kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan, maka semua kenyataan lain mestilah selaras dengan pendirian kerajaan.

"Amat wajar semua parti komponen yang membentuk kerajaan PN memberi fokus bagi membantu rakyat dalam situasi yang penuh mencabar ini," katanya.

Umno juga memeterai kerjasama dengan PAS menerusi gabungan Muafakat Nasional yang turut membabit parti-parti komponen BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS