Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
China: Sidang tahunan Kongres Rakyat bermula

GLOBAL | Perdana Menteri China, Li Keqiang membentangkan laporan pelaksanaan dan keberhasilan usaha pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan kerajaan sepanjang tahun lalu pada persidangan tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China yang dirasmikan di Beijing, pada Jumaat.

Beliau turut membentangkan matlamat dan misi penting dalam melaksanakan Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 mengenai pembangunan sosioekonomi kebangsaan.

Persidangan yang berlangsung selama tujuh hari itu akan membahaskan kesemua laporan berkenaan.

Kira-kira 3,000 wakil NPC dari pelbagai lapisan masyarakat akan membahaskan laporan itu, Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 dan draf garis panduan Wawasan 2035 bagi menggariskan hala tuju pembangunan negara pada masa akan datang.

Sementara itu, persidangan juga akan menumpukan kepada laporan ekonomi negara dan kehidupan rakyat, belanjawan serta draf Keputusan NPC bagi Penyempurnaan Sistem Pemilihan Umum Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong.

Untuk rekod, sistem Kongres Rakyat merupakan sistem teras politik China.

Sebagai pihak berkuasa tertinggi negara, NPC mengadakan persidangan setiap tahun untuk membahaskan dan menggubal undang-undang termasuk undang-undang jenayah dan sivil, serta dasar penting mengenai pembangunan sosioekonomi.

Persidangan tahunan NPC bersama persidangan tahun Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) yang dirasmikan lebih awal dianggap platform penyampaian makumat dasar negara dan jendela penting China kepada dunia luar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS