Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Nota editor: Artikel ini sebelum ini menyatakan Shazni Munir tewas dalam pertandingan untuk jawatan ketua pemuda Amanah pada 2019. Dia sebenarnya bertanding untuk jawatan timbalan ketua pemuda dan menang. Dia dilantik sebagai ketua pemuda selepas pemilihan khas pada 2020.

Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin dilantik sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang baru.

Namun pelantikan itu, yang diputuskan dalam mesyuarat PH petang semalam, menerima tentangan daripada sebilangan pemuda PKR (AMK).

Jawatan ketua pemuda PH kosong selepas Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan gabungan itu tahun lalu.

Malaysiakini difahamkan pelantikan Shazni mendapat sokongan majoriti daripada ahli pemuda Amanah dan DAP, setelah rundingan dibuat oleh majlis presiden PH.

Pelantikan itu juga dibuat meskipun memo daripada ahli AMK menyokong ketuanya, Akmal Nasir untuk memegang jawatan tersebut.

Menurut memo terbabit, yang dilihat Malaysiakini, AMK menyatakan Akmal seharusnya dilantik ke jawatan itu memandangkan sayap parti itu memiliki kekuatan jentera akar umbi.

Selain kredibiliti akademik, AMK berkata kedudukan Akmal sebagai ahli parlimen juga menyebabkan dia mempunyai kelebiha berbanding calon-calon lain.

Tambahnya, AMK di peringkat akar umbi juga terkesan dengan beberapa saranan daripada kepimpinan utama PH untuk membentuk kerjasama politik membabitkan individu yang telah mengkhianati pesiden PKR sebelum ini

Ini diperayai merujuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang mencadangkan kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad setelah kerajaan PH tumbang.

Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Razab yang menandatangani memo terbabit mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

Sumber Pemuda DAP menjelaskan, memo berkenaan mendorong partinya untuk sebulat suara menyokong Shazni bagi jawatan ketua Pemuda PH.

Satu lagi sumber Pemuda PH berkata, Pemuda DAP dan Amanah sukar bekerjasama dan mendapatkan kata sepakat daripada rakan PKR mereka mengenai beberapa isu.

Akmal menerusi akaun Facebook semalam menzahirkan ucapan tahniah kepada Shazni susulan lantikan tersebut.

“Walaupun ada desakan daripada kepimpinan dan akar umbi AMK untuk saya mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda PH, saya memilih untuk tidak memperpanjangkan proses pemilihan untuk kepentingan politik PH,” katanya.

Dia juga menyeru seluruh jentera Pemuda PH untuk bersama memperkukuh kesatuan bagi memastikan Pemuda PH muncul sebagai gabungan gerakan pemuda yang kuat.

Bagaimanapun, segelintir pemimpin PKR tidak senang dengan pelantikan Shazni.

“Dari segi kelayakan, kekuatan jentera dan kesesuaian semasa, AMK sewajarnya menerajui Pemuda PH,” kata Ketua AMK Selangor Najwan Halimi ketika dihubungi. 

Sementara itu, Ketua AMK Perlis Nor Azam Karap pula berkata ramai yang menentang keputusan berkenaan.

“Apa yang saya nampak selepas pelantikan Pemuda PH ni, ramai rakan-rakan AMK mendesak agar AMK bergerak sendirian tanpa dua lagi sayap parti itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, Ketua Penerangan AMK Sabah Razeef Rakimin berkata, selain kelayakan, hubungan DAP dan Amanah bersama Mahathir serta parti luar seperti Muda juga akan menjadi masalah.

“Bohong kalau saya kata ini cuma suara AMK kerana rakan-rakan dari Pemuda Amanah dan DAP pun ada menyuarakan perkara sama,” jelasnya.

Razeef hari ini meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Pemuda PH Sabah disebabkan alasan tersebut dengan mengatakan banyak unsur “tikam belakang" dalam mengejar kedudukan.

Meskipun dihentam AMK, Ketua Pemuda DAP Howard Lee yakin dengan Ketua Pemuda PH yang baru.

“Kelayakan dari ketiga-tiga ketua pemuda parti adalah sama dan kuat, tiada keraguan mengenai keupayaaan salah seorang daripadanya untuk memimpin Ketua Pemuda PH.

“Shazni pandai menggerakkan orang dan mempunyai strategi yang baik untuk memimpin juga.

“Secara taktikal dan politik, dia adalah calon yang paling sesuai kerana Akmal dan saya sendiri mempunyai tanggungjawab di kawasan parlimen sendiri sementara Shazni boleh memberikan komitmen sepenuhnya terhadap jawatan ini,” kata Lee.

Shazni enggan mengulas kritikan yang diterima ketika dihubungi dan meminta untuk merujuk kenyataannya semalam.

Berdasarkan kenyataan tersebut, Ketua Pemuda PH itu menggesa kesemua ketiga- tiga parti untuk bersama-sama membantu anak muda negara yang menghadapi cabaran kewangan dan kesihatan ekoran wabak Covid-19.

“Realiti ini menuntut gabungan kekuatan ketiga-tiga tunjang PH. Jentera Pemuda Amanah, DAP dan AMK yang tangkas dan responsif perlu disiapkan dalam memenuhi harapan orang-orang muda yang susah,” jelasnya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS