Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid diserang 3 kluster gara-gara arah ahli Umno 'all out' di media sosial
Diterbitkan:  Mar 5, 2021 1:04 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa dia kini menjadi sasaran kemarahan tentera siber tertentu yang mendorong mereka menyerang Facebooknya selepas dia mengarahkan penyokong Umno dan BN "all out" memanfaatkan media sosial.

Kata Ahmad Zahid ada tiga "kluster" yang menyerang dengan memperlekeh dan memutarbelitkan gesaan dibuatnya.

Jelas ahli parlimen Bagan Datuk itu musuh yang menyerangnya membabitkan "kluster fitnah", "kluster cari makan" dan "kluster takut bos hilang kuasa".

"Tentera siber marah serang akaun Facebook saya. Memperlekeh dan memutarbelitkan gesaan saya.

"Mungkin sebab makan cili rasa pedas atau mungkin juga kerana arahan. Wallahu a'lam," katanya melalui kenyataan di media sosial pagi ini.

Dakwa Ahmad Zahid, "kluster fitnah" itu melancarkan serangan kerana mereka bimbang rakyat tahu akan kebenaran bahawa mereka pernah diperdaya pemimpin tertentu.

"Kluster kuasa" pula katanya khuatir bos tentera siber terbabit hilang kedudukan apabila rakyat menyedari Umno/BN tetap pilihan terbaik untuk mereka.

"Kluster cari makan pula takut (apabila) Umbo/BN bangkit kuat bos (mereka akan) hilang jawatan maka mereka apa pun tak boleh (buat dah)," tulis Zahid.

Fokus pada agenda parti 

Pada 1 Mac lalu Ahmad Zahid meminta seluruh jentera Umno serta BN supaya tidak lagi berdiam diri dan berlengah daripada memanfaatkan media sosial.

Katanya platform tersebut penting dalam menyalurkan maklumat yang tepat tentang Umno dan BN.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga berkata ahli parti digesa memperkasa parti terbabit dengan fakta dan kebenaran, sambil mencantas kebatilan dan tipu daya pada kos paling minimum.

“Umno/BN mungkin tiada peruntukkan khusus sehingga lebih RM40 juta untuk tujuan itu.

“Saya yakin dengan keikhlasan dan semangat perjuangan seluruh jentera, ahli dan penyokong Umno/BN kita mampu. Ini kali kita all out,” katanya.

Untuk rekod Umno kini berada pada posisi menolak kerjasama dengan Bersatu namun gerakan itu dilihat berdepan dengan beberapa kekangan termasuk daripada kalangan pimpinan parti itu sendiri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyindir beberapa kumpulan musuh politik yang mula gelisah apabila rakyat mula celik mata dan menyedari bahawa Umno dan BN konsisten membela nasib rakyat.

"Kepada yang memberi nasihat dan cadangan kita ucapkan ribuan terima kasih.

"Justeru saya pinta tuan-puan jentera, ahli dan penyokong Umno/BN terus fokus kepada agenda perjuangan parti," katanya.

Ahmad Zahid turut menggesa semua ahli Umno terutamanya jentera parti itu agar tidak hilang fokus untuk terus bertempur di media sosial bagi memastikan parti mereka terus bangkit menjelang pilihan raya umum akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS