Kerajaan New Zealand terus berdiam diri berhubung sama ada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara mendapat layanan istimewa atau tidak.
Perkara itu dipersoal oleh organisasi berita Stuff, yang berpusat di Wellington, yang mendapati bahawa kerajaan New Zealand tidak mengetahui status Santhara di negara itu atau berapa lama dia menunggu tempat kuarantin.
Jabatan imigresen negara itu memberitahu Stuff bahawa mereka tidak dapat memberikan maklumat mengenai Santhara sekiranya tiada kebenaran untuk mendedahkan maklumat peribadi.
Begitu juga, jurucakap kementerian untuk perniagaan, inovasi dan pekerjaan negara itu - yang memantau kemudahan kuarantin New Zealand - mengatakan bahawa mereka tidak dapat mendedahkan maklumat tersebut atas alasan maklumat peribadi.
Kemudahan pengasingan dan kuarantin (MIQ) yang dikendalikan di New Zealand terhad. Terdapat 32 kemudahan dengan kapasiti 6,260 orang.
Pada bulan Oktober, kerajaan New Zealand memerintahkan syarikat penerbangan Air New Zealand untuk membekukan tempahan kerana kemudahan MIQ hampir mencapai kapasiti menjelang cuti Krismas.
Menurut akaun peribadi Santhara, dia memasuki MIQ pada 24 Disember tahun lalu.
Jurucakap bagi tindak balas Covid-19 Parti Nasional (parti pembangkang di New Zealand) Chris Bishop mengatakan bahawa kerajaan harus mengesahkan sama ada Santhara mendapat layanan istimewa atau tidak.
Bishop mengatakan maklumat peribadi bukanlah alasan yang baik kerana tidak sesuai dengan pendirian kerajaan New Zealand mengenai kes-kes sebelumnya.
"Saya memahami hujah tentang maklumat peribadi, tetapi kerajaan sangat terkehadapan dalam kes salah satu anggota Parlimennya sendiri, Ricardo Menendez March, yang dapat kembali ke New Zealand," kata Bishop kepada Stuff.
"Soal maklumat peribadi nampaknya tidak begitu penting dalam hal itu dan seharusnya juga tidak ada dalam kes ini (kes Santhara)."
Menurut Bishop, ramai warga New Zealand tidak dapat kembali ke negara mereka, bahkan untuk melihat orang tersayang yang meninggal dunia, kerana kemampuan MIQ yang terhad.
Oleh itu, katanya orang ramai berhak mendapat jawapan.
"Persoalan sebenarnya adalah bagaimana dia masuk ke MIQ, ada sejumlah ruang yang sangat terhad dan orang akan sangat prihatin jika ada layanan istimewa yang diberikan kepadanya dan kerajaan sekarang perlu lebih telus mengenai hal itu," katanya.
Santhara sebelum ini menjelaskan bahawa dia telah mengambil cuti 55 hari - termasuk cuti tanpa gaji - untuk bersama keluarganya di New Zealand.
Dia mengatakan bahawa isterinya sakit dan bahawa dia tidak melihat anaknya lebih setahun.
Pendedahan mengenai Santhara hadir di tengah-tengah sekatan perjalanan yang ketat bagi kebanyakan rakyat Malaysia, yang kini tidak dapat merentas sempadan negeri, apalagi ke luar negara untuk kunjungan.