Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno putus hubungan dengan Bersatu lepas Muhyiddin gesa nyatakan pendirian'
Diterbitkan:  Mar 4, 2021 3:51 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendesak Umno menyatakan pendirian.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mendedahkan bahawa dalam pertemuan 15 Februari antara Bersatu, PAS, dan Umno, Muhyiddin meminta Umno membuat pendirian yang jelas mengenai kerjasama dengan Bersatu sebelum rundingan kerusi dapat dilakukan.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata bahawa lima pemimpin dari setiap parti hadir dalam pertemuan itu.

"Di dalam pertemuan tersebut perdana menteri merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meminta agar Umno membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan Bersatu sebelum sebarang rundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU-15," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Bersatu dilaporkan akan membincangkan hubungannya dengan Umno petang ini, maklum Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.

Katanya, kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan turut dibincangkan.

Ini selepas Umno menghantar surat, mengatakan jalinan kerjasama dengan Bersatu akan berakhir sebaik sahaja pilihan raya umum (PRU) ke-15 bermula.

Hamzah pada kenyataannya pagi ini, mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat itu pada 26 Februari.

Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan bahawa MT Umno telah mengadakan mesyuarat pada 19 Feb lalu dan mencapai keputusan untuk menentukan hasrat permintaan presiden Bersatu itu diterima atau sebaliknya.

"Justeru keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19," katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS