Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganggur didakwa sebabkan kematian semasa memandu dalam mabuk
Diterbitkan:  Mar 4, 2021 1:44 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuantan hari ini, atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja kilang, Isnin lalu.

Pengakuan Mandave Singh, 26, yang memakai kemeja-T hitam dan seluar pendek jeans kelabu itu direkodkan di hadapan Majistret Nor Izzati Zakaria.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu semasa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza CBY7433 dan menyebabkan kematian Muhammad Akmal Hakim Misnan, 22, yang menunggang motosikal EX5 pada 1.10 pagi, 1 Mac lalu di Jalan Sungai Lembing di Kuantan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang baru tamat belajar di institusi pengajian tinggi didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Peguam Farah Naz Kumar yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM20,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, dengan mengambil kira keadaan kewangan keluarga tertuduh.

"Bapa tertuduh yang akan menjadi penjamin bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500, namun kini berdepan dengan masalah pandemik Covid-19 dan saingan e-hailing menyebabkan keadaan kewangan semakin sukar.

"Bapa tertuduh juga menyara isteri dan seorang anak yang mempunyai masalah kesihatan, selain tertuduh yang sukar mendapat kerja dalam situasi sekarang.

"Tertuduh berjanji tidak akan melarikan diri selain telah memberikan kerjasama kepada polis," katanya.

Nor Izzati membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin bersama syarat tambahan tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan, lesen memandu digantung sehingga kes selesai dan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 23 April bagi serahan dokumen memandangkan pihak pendakwaan masih menunggu laporan toksikologi tertuduh dan bedah siasat mangsa.

Pada Isnin lalu, polis mengesahkan Muhammad Akmal Hakim maut selepas motosikalnya dirempuh dari belakang menyebabkan mangsa yang bekerja di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan, terpelanting ke cermin hadapan MPV yang merempuhnya sebelum terjatuh di tengah jalan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS