Kerajaan PN digesa supaya tidak dilihat rakyat setara dengan tauke atau syarikat perjudian dan "berdiri sama tinggi" dengan mereka, kata PAS Pahang.
Ketua penerangannya Mohd Tarmizi Yahaya berkata PN wajib melindungi dan menyelamatkan rakyat, bukannya membina kekayaan seperti tauke atau syarikat perjudian atas merananya rakyat.
"Kerajaan jangan dilihat sebaris tauke atau syarikat perjudian berdiri sama tinggi, duduk sama rendah atau atau cubit paha kanan, paha kiri terasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tarmizi PN perlu menyusun kerangka ke arah menamatkan sepenuhnya aktiviti berteraskan perjudian daripada terus beroperasi di negara ini.
Katanya ia dapat dilaksanakan dengan tidak lagi memberi menyambung lesen perjudian terbabit setelah tempohnya tamat.
Untuk merealisasikannya kata Tarmizi kerajaan mesti memiliki iltizam politik untuk tidak menjadikan cukai sektor tersebut sebagai perolehan hasil kewangan negara.
"Biar pun memberi nilai sangat besar berbilion ringgit, hakikatnya ia tidak harus menjadi sumber pendapatan apatah lagi sebagai kebergantungan," katanya.
Judi merupakan satu daripada isu yang digunakan PAS semenjak menjadi pembangkang. Untuk rekod PAS sekarang merupakan parti komponen PN yang menguasai Putrajaya serta sebahagian besar negeri.
Jangan rasa kehilangan, kesal
PN juga dikritik kerana meningkatkan semula jumlah cabutan khas judi daripada lapan kali setahun semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan kembali menjadi 22 kali tahun ini.
Pusat perjudian utama di negara ini terletak di Genting Highlands, Pahang.
Baru-baru ini pemimpin PAS turut bersuara bagi membantah aktiviti di pusat perjuadian dan kedai nombor ekor yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menurut laporan cukai judi yang dikutip kerajaan adalah tinggi dengan RM2.72 bilion dipungut sehingga Sept 2019 manakala pada 2018 sebanyak RM2.018 billion cukai dikumpulkan.
Tarmizi berkata, jangan kerana pulangan lumayan kerajaan bersikap menutup mulut atau ragu-ragu daripada menguruskannya sebagai aktiviti yang haram dalam Islam.
Jelasnya, ketegasan kerajaan akan mendapat sokongan moral rakyat, sekali gus membersihkan kantung negara.
"Setiap tahun cukai sektor perjudian semakin bertambah, tidak termasuk daripada perjudian tanpa lesen yang bererti terlalu besar sebenarnya jika ia dapat dicukaikan.
"Namun, kerajaan tidak seharusnya berasa kehilangan dan kekesalan kerana tidak memperolehinya.
"Sebaliknya, pertambahan hasil dan bercambahnya kegiatan tanpa lesen tersebut perlu menjadi satu kebimbangan. Ia penanda aras kepada bertambah ramainya penagih judi dan juga jumlah wang yang telah disia-siakan.
"Angka itu juga mewakili sebahagian mungkar dan jenayah di sebaliknya.
"Wang perjudian tidak lain memberikan kos melepas kepada tanggungjawab yang diabaikan atau pembayaran tidak dilunaskan. Bahkan tidak mustahil menjadi pemicu munculnya jenayah oleh mereka yang terdesak.
"Hitungkan semua kitaran ini, berapa ramai yang menjadi mangsa?" katanya yang juga Adun Panching.
Tambahnya, Genting Highlands yang setanding Las Vegas dalam kalangan penjudi akan jauh lebih masyhur ke seluruh dunia jika aktiviti perjudian di situ ditamatkan.
"Peranginan alam semulajadi dan istirahat keluarga akan lebih melonjakkan potensinya sebagai destinasi pelancongan.
"Lebih dari itu, apabila kasino di Genting Highlands dapat ditamatkan, pasti tindakan untuk menutup sama nombor ramalan, loteri, lumba kuda, tikam ekor dan perjudian lain akan lebih mudah.
"Demikian itu juga perjudian terselindung pasti akan dapat ditangani bila ia menjadi kejanggalan dalam masyarakat," ujar Tarmizi lagi.