Berikutan sambutan hangat baru-baru ini terhadap kacang masin istimewanya, Malaysia Airlines kini menawarkan produk dalam pesawat premium eksklusif melalui kedai e-runcit miliknya, Temptations.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines Bhd, Lau Yin May berkata inisiatif terbaharu itu menawarkan pelanggan citarasa pengalaman dalam penerbangan ‘Malaysian Hospitality’ premium terutama bagi mereka yang rindu untuk “terbang” bersama syarikat itu.
Beliau berkata barangan khas eksklusif seperti set pijama, kit kebersihan (penjagaan diri) dan selimut, yang hanya tersedia kepada penumpang premium dalam pesawat, kini dijual dengan kemudahan penghantaran terus ke depan pintu pelanggan.
“Semua orang dari pelbagai lapisan masyarakat yang rindukan penerbangan dengan kami kini berpeluang mencipta semula pengalaman terbang mereka dengan memiliki barangan kabin terbaik kami di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit kebersihan (penjagaan diri) Suite Perniagaan eksklusif syarikat penerbangan negara yang dihasilkan dengan kerjasama jenama barangan kulit mewah buatan tangan berpangkalan di London, Aspinal of London, mengandungi pelbagai keperluan perjalanan yang mengagumkan seperti produk untuk penjagaan kulit dan badan PAYOT, boleh dibeli dengan harga RM99.
Selimut Kelas Perniagaan dua tona, yang diperbuat daripada campuran kapas dan poliester serta menampilkan Wau Bulan ikonik syarikat penerbangan ini berharga RM110, sementara Set Pijama Suite Perniagaan edisi terhad berharga RM119.
- Bernama