Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno P Pinang akan adakan pemukiman dengan PAS

UMNO Pulau Pinang akan mengadakan pemukiman dengan PAS negeri bagi membincangkan agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain memperkukuh muafakat di antara kedua-dua parti.

Pengerusinya Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata ini selaras dengan pendirian UMNO Pulau Pinang yang mahu mengelakkan pertembungan dengan calon PAS pada PRU tersebut.

“Hubungan kita dengan PAS negeri sangat rapat dan tidak ada masalah. Banyak program melibatkan kedua-dua parti telah dianjurkan dan mendapat sokongan serta sambutan baik ahli akar umbi kedua-dua parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program tanggungjawab sosial korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut dihadiri Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata setakat ini UMNO negeri sudah menyelesaikan 50 peratus daripada kerusi dan calon yang akan bertanding pada PRU berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berhubung penolakan kerjasama dengan Bersatu, Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata pandangan tersebut adalah pendapat peribadi Tengku Razaleigh.

Semalam, Tengku Razaleigh menggesa Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat tergempar bagi membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan Bersatu.

Pada program hari ini, TNB menyerahkan bantuan persekolahan kepada 1,400 pelajar di negeri itu yang akan disalurkan oleh ketua UMNO Bahagian di Pulau Pinang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS